Anak tegur Felda jangan ugut peneroka

Anak tegur Felda jangan ugut peneroka

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) kesal dengan pendekatan yang digunakan Felda yang dilihat sebagai ‘mengugut’ dalam menangani isu hutang tanam semula peneroka.

Presiden persatuan itu, Mazlan Aliman berkata, Anak menerima banyak aduan sejak sekian lama mengenai rasa tidak puas hati peneroka terhadap penyelenggaraan kebun mereka yang tidak sempurna.

Kesannya kata beliau, pendapatan peneroka menjadi rendah dan tidak munasabah dengan keluasan kebun seluas10 ekar dan jika dibandingkan dengan mereka yang menguruskan kebun secara bersendirian, perbezaan pendapatan adalah begitu ketara.

“Apabila diajukan kepada pentadbiran Felda, tindakan susulannya lambat dan mengecewakan. Ekoran itu ia telah mendorong ramai peneroka mengambil alih kebun mereka dan menguruskannya sendiri.

“Peneroka yang dulunya bersama Felda dan dikenakan kos tanam semula, tiada masalah untuk membayar hutang mereka kepada Felda,” kata Mazlan dalam satu kenyataan semalam.

Namun katanya, Penyata Tanam Semula mestilah melalui penelitian yang cermat, dikemaskini dan dipersetujui kedua-dua pihak.

“Tindakan Felda menghantar ‘surat ugutan’ bertempoh 14 hari adalah tidak wajar dan ia membelakangkan hak peneroka sebagai tuan punya tanah 10 ekar.

“Jika tindakan Felda berdasarkan Perjanjian Tanam Semula antara Peneroka dengan Felda, perjanjian itu sendiri pun berat sebelah,” sambungnya.

Menurut Mazlan lagi, peneroka tidak boleh menuntut haknya apabila kebun mereka tidak diurus dengan sempurna. bahkan, terdapat kes peneroka terpaksa memulihkan sendiri kebun mereka, gagal mendapat sebarang gantirugi.

Justeru katanya, proses perundingan kedua-dua belah pihak harus dilakukan dengan mengambil kira kepentingan bersama.

Jika Felda mahukan wang Tanam Semula mereka, peneroka juga telah membelanjakan ribuan ringgit memulihkan kebun mereka, kata Mazlan

Beliau menambah, Anak akan merujuk insiden ‘ugutan’ ini kepada Penasihat Undang Undang Anak jika Felda meneruskan tindakan tidak demokratik ini.

5.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 10.0