Malaysia Dateline

Anak tempatan bakal calon AMANAH di DUN Jemoreng, Sarawak

Parti AMANAH Negara akan mempertaruhkan calon anak tempatan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak nanti.

Timbalan Pengerusi AMANAH Sarawak, Hud Andri Zulkarnaen berkata, pihaknya telah meneliti tiga nama yang disenaraikan untuk diletakkan sebagai calon yang kesemuanya adalah terdiri daripada anak tempatan.

Katanya, ketiga-tiga nama itu masing-masingnya memiliki kelebihan dan merupakan ahli akdemik dalam pelbagai bidang termasuk aktif dengan sukarelawan kebajikan di peringkat kawasan.

“Saya yakin calon yang kita tampilkan khususnya di kalangan anak tempatan di DUN Jemoreng ini akan mampu membawa perubahan dan berupaya menyelesaikan isu-isu berkaitan air bersih, elektrik dan kemudahan lain.

“Ini kerana masalah-masalah ini umpama ‘tiada kesudahannya’ walaupun pemimpin di DUN Jemoreng ini silih bertukar di bawah parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB).

“Semoga dengan meletakkan calon anak tempatan pada PRN12 akan datang, para pengundi di sini berpeluang memilih pemimpin mereka yang benar-benar memahami masalah dan kehendak rakyat di DUN Jemoreng kelak, ” ujarnya.

Hud Andri berkata demikian ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih di Kampung Tian, Matu hari ini.

Beliau menambah, semua jentera di setiap DUN juga telah dimaklumkan untuk membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya yang dijangka akan diadakan pada bila-bila masa.

Katanya, setakat ini boleh dikatakan semua jentera di peringkat DUN telah diaktifkan dengan mengadakan beberapa program penerangan di kawasan masing-masing.

“In shaa Allah…dengan persiapan rapi yang dilakukan jentera dan ahli parti di kawasan masing-masing akan mampu memberi kemenangan kepada calon-calon yang ditampilkan.

“Justeru, saya berharap antara jentera dan calon kelak berupaya menjalinkan kerjasama yang baik sekali gus berjaya menarik sokongan para pengundi,” tambah beliau.