Anak terlibat kes tuntutan palsu, MB Perlis akur anak dihukum jika terbukti bersalah

Oleh MAISARAH AISYA

Kecoh mengenai anak seorang menteri besar yang dikatakan antara enam terlibat dalam proses tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Mereka dikatakan cuba membuat tuntutan bayaran perkhidmatan menyediakan minuman untuk kegunaan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Hospital Tuanku Fauziah.

Menurut MalaysiaKini, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata dia terbuka dengan siasatan terhadap anaknya.

Tambahnya jika hasil siasatan membuktikan anaknya bersalah maka pihak berkuasa berhak menjatuhkan hukum kerana tiada siapa yang kebal daripada undang-undang.

“Ini adalah ujian yang sedang saya hadapi dan jika anak saya (terbukti) bersalah, maka hukumlah dia kerana saya sudah beri pendidikan dan ilmu.

“Ia termasuk juga pegawai saya di mana saya selalu berpesan mengenai perkara ini dan jika terbabit juga, saya sudah habis ikhtiar,” katanya seperti dilapor media.

Pada masa sama, Adun Sanglang itu juga bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Media melaporkan, SPRM melanjutkan tahanan reman terhadap anak lelakinya sehingga esok bersama empat lagi individu yang terbabit dalam kes sama.

Dalam pada itu, Mohd Shukri mengakui wujud kelemahan dalam pentadbiran negeri dengan mengatakan dirinya mudah mempercayai semua orang.

Disebabkan itu, Mohd Shukri mengingatkan semua pihak bahawa tiada orang yang kebal terhadap undang-undang termasuk dirinya.

“Memang, kelemahan saya dalam pentadbiran terlalu baik dan percaya semua orang saya beri kebebasan tetapi harus diingat tidak siapa kebal undang-undang termasuklah saya.

“Malah salah seorang yang disiasat itu adalah anak saya dan pada pagi (SPRM) datang, mereka geledah rumah saya (di Sungai Padang) kemudian Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) tempat saya asuh anak-anak dan kemudian bawa anak saya pergi untuk direman.

“Sekali lagi saya tegaskan bahawa pejabat saya buka 25 jam (setiap masa) sehari untuk pemeriksaan SPRM kerana saya tidak mahu berlaku sebarang penyelewengan dan biarlah ia dalam keadaan bersih dari unsur tidak baik,” katanya.

Baca juga: KPT akan bantu anak mangsa nahas helikopter TLDM, salur RM1,000 dalam akaun SSPN-i