Malaysia Dateline

Anak Thaksin bebas tuduhan pengubahan wang haram

Anak lelaki bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, dibebaskan daripada tuduhan pengubahan wang haram, berkait pinjaman berjumlah 10 juta baht (RM1.38 juta) ketika bapanya masih berkuasa.

Mahkamah Jenayah Pusat Thailand bagi Kes Salah Laku dan Rasuah hari ini memutuskan Panthongtae Shinawatra, 41, tidak bersalah dalam kes pinjaman 10 juta baht itu yang diberikan oleh bank kerajaan, Bank Krungthai kepada pemaju hartanah, Krisdamahanakorn antara tahun 2003 dan 2004.

Mahkamah menyatakan tidak ada bukti yang cukup untuk membuktikan Panthongtae menyedari bahawa cek tersebut adalah sebahagian daripada pinjaman haram yang diluluskan kepada syarikat berkenaan.

Panthongtae yang ketika itu berusia 26 tahun berkata cek 10 juta baht itu diberikan rakannya, Ratchada Krisdathanon, 53, yang juga anak lelaki pemilik syarikat pemaju hartanah, untuk usahasama perniagaan.

Pada Ogos lepas, Bahagian Jenayah Mahkamah Agung Thailand bagi Pemegang Jawatan Politik membebaskan Thaksin, yang digulingkan dalam rampasan kuasa oleh tentera pada 2006, dalam kes itu awal tahun ini.

Pada 2015, bekas presiden KTB Viroj Nualkhair, bekas pengerusi bank Suchai Jaovisidha dan 22 lagi kakitangan bank itu didapati bersalah dalam kes tersebut.

Panthongtae ketika ditemui pemberita selepas itu berkata,ā€ Saya rasa sangat lega. Terima kasih semua atas sokongan moralā€.– BERNAMA