Anak tunggal ‘terkapai’ di universiti, salahkan ibu bapa sendiri sebab tak ajar berdikari

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang pelajar universiti yang juga merupakan anak tunggal berjaya mengundang perbincangan hangat di media sosial, baru-baru ini selepas berkongsi ‘kesukaran’ dialaminya di pusat pengajian berkenaan.

Difahamkan, pelajar terbabit baru sahaja melanjutkan pengajiannya di universiti dan kini sedang mengikuti pembelajaran Semester Satu di sebuah institusi dalam tempoh dua minggu.

Pelajar itu bagaimanapun mengalami kesukaran untuk menyesuaikan dirinya dengan situasi baharu malah bertindak menyalahkan ibu bapanya kerana tidak mendidiknya untuk berdikari dengan lebih awal.

Akibatnya, anak tunggal berkenaan perlu belajar menenangkan dirinya sendiri selain mengambil masa yang lebih lama daripada orang lain hanya untuk beradaptasi di alam universiti.

“Sebagai anak tunggal di dalam keluarga, saya salahkan ibu bapa. Sebab mereka tidak pastikan saya bersiap sedia dengan lebih awal untuk berdepan dengan dunia realiti.

“Saya pelajar Semester Satu, baru dua minggu berada di sini. Sekarang, saya kena belajar untuk tenangkan diri sendiri. Beradaptasi dengan dunia baharu yang tidak selalunya bepihak kepada saya.

Perkongsian tersebut dibuat oleh anak tunggal terbabit menerusi satu hantaran yang dimuat naik di platform X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) mendedahkan identiti sebenarnya.

Setakat artikel ini ditulis, perkongsian itu telah berjaya meraih sebanyak 486,400 tontonan oleh pelayar X dengan rata-ratanya menyelar tindakan pelajar universiti terbabit kerana tergamak menyalahkan ibu bapanya sendiri.

Namun beberapa individu tampil memberikan semangat kepada pelajar berkenaan untuk belajar berdikari kerana memahami situasinya selain memberikan panduan untuk mula bergaul dengan orang lain.

“Kerja nak salahkan ibu bapa sahaja. Bersyukurlah kau usia 18 ke 19 tahun baru nak belajar berdikari. Aku kecil-kecil umur 13 tahun kena duduk rumah, makan dan naik kapal terbang sendiri. Orang lain kecil-kecil kena belajar sendiri. Semua nak suap sahaja kau ini,” kesal seorang pengguna.

“Saya salah seorang anak yang kena kongkong walaupun bukan anak tunggal. Faham sangat perasaan cemas itu. Cubalah untuk berkawan dan jangan malu bertanya kepada mereka. Mungkin ada yang meremehkan awak. Tetapi tak mengapa, perlahan-lahan belajar berdikari.” Kongsi pengguna lain.

Baca juga: Pelancong Korea terkejut, kenapa pusat beli belah di Malaysia caj RM2 masuk tandas