Anak yatim bengang bapa saudara lepas tangan, tuntut duit bila anak buah bekerja

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang individu berjaya mencuri perhatian ramai selepas memuat naik perkongsian mengenai pengalamannya membesar sebagai anak yatim di platform media sosial.

Mula ‘bergelar’ anak yatim sejak usianya sembilan tahun, individu terbabit mengaku terpaksa menjalani kehidupan di dalam keadaan begitu sukar bersama adik beradiknya yang lain.

Bukan itu sahaja, kebajikan adik beradik yatim berkenaan turut diabaikan oleh bapa saudara mereka sendiri yang langsung tidak ambil peduli sejak ditinggalkan oleh orang tua.

“Aku menjadi anak yatim sejak berusia sembilan tahun. Sepatutnya, bapa-bapa saudara aku yang ambil alih untuk menyara kami adik beradik. Tetapi satu sen pun tak pernah diberikan,” akui individu itu.

Walau bagaimanapun, individu itu berjaya mengharungi segala cabaran hingga dirinya meningkat dewasa malah memperoleh pekerjaan tetap meskipun hidup dalam serba kekurangan.

Namun adik beradik yatim itu langsung tidak menyangka bahawa bapa saudara mereka akan kembali hanya untuk menuntut wang belanja apabila anak buah sudah bekerja.

Lebih memburukkan keadaan, bapa saudara yang sama malah menyindir anak yatim itu dengan mengatakan mereka kedekut kerana enggan menuruti permintaan tersebut.

“Sekarang aku sudah bekerja. Bapa saudara siap perli aku kedekut sebab tak berikan duit kepada dia,” luah individu itu menerusi satu hantaran di platform X tanpa mendedahkan identitinya.

Perkongsian tersebut berjaya menyentuh perasaan ramai pengguna platform X yang turut berkongsi rasa simpati mereka dengan nasib menimpa adik beradik berkenaan.

Rata-rata pengguna turut membanjiri ruangan komen di perkongsian itu supaya individu berkenaan mengabaikan sahaja sindiran dan permintaan yang dibuat oleh bapa saudaranya.

“Buat tak tahu sahaja. Duit itu kau simpanlah untuk diri sendiri. Kalau bapa saudara kau nak duit, suruh dia minta dengan anaknya sendiri,” kata seorang pengguna memberikan cadangan.

“Pakcik itu wajib tanggung kau dahulu. Tetapi kau tak wajib berikan duit kepada mereka. Kalau mereka perli, abaikan sahaja. Tak kurang satu sen pun duit kau sebab mereka tiada hak.” Kongsi pengguna lain.

Pada masa yang sama, ada juga beberapa individu tampil menyatakan pendapat lain bahawa anak yatim itu boleh sahaja memberikan sedikit wang dengan niat sedekah agar mendapat bekalan akhirat.

Baca juga: Terkejut tengok imej terbaharu Aliff Aziz sekarang, 360 darjah berbeza berbanding dulu