Anak yatim tak ambil slip SPM kerana kekangan duit, MARA akan tanggung pengajian ke universiti

Oleh WAN SITI AMINAH

Gara-gara kekangan kewangan, seorang pelajar bergelar anak yatim tidak dapat hadir untuk mengambil slip Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) walaupun meraih keputusan yang cemerlang.

Kisah pelajar itu dedahkan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki melalui satu perkongsian yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya pada pagi Jumaat.

Asyraf Wajdi mengakui merasa pilu apabila mendengar kisah pelajar berkenaan sebelum pihak MARA membuat keputusan untuk menghulurkan bantuan kepada lepasan SPM yang memperoleh keputusan (9A) itu.

Jelasnya, pihak MARA akan menanggung pelajar terbabit untuk melanjutkan pengajiannya ke peringkat universiti sama ada di insitusi pendidikan tempatan mahupun luar negara mengikut pilihannya.

“Pilu mendengar kisah pelajar berstatus anak yatim dan miskin yang memperoleh keputusan 9A. Pelajar daripada Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) PC (Pengkalan Chepa) ini tak pergi mengambil keputusan SPM.

“Sebabnya mengalami kekangan wang. Jadi MARA akan menanggung pelajar ini belajar sampai universiti hatta ke luar negara,” katanya dalam perkongsian yang kini sudah meraih 15,000 tanda suka daripada pengguna Facebook.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah MARA sudah diarahkan untuk segera mengumpulkan semua pelajar cemerlang MRSM seluruh Malaysia termasuklah penerima bantuan pendidikan MARA (BUDI) dikalangan pelajar miskin tegar.

Mereka akan ditemukan dengan Asyraf Wajdi yang mana satu program khas turut diadakan untuk menerangkan peluang-peluang yang ditawarkan MARA dalam bidang strategik bagi memenuhi keperluan masa depan.

“Kumpulan pelajar yang berjaya mendapat semua A ini akan ditemukan dengan saya dan diadakan satu program khas untuk menerangkan peluang-pelang yang MARA akan tawarkan dalam bidang-bidang strategik.

“Untuk pelajar-pelajar miskin yang cemerlang seperti ini, MARA akan bimbing mereka untuk sambung pengajian sehingga ke luar negara. Sebagaimana yang selalu saya tekankan kepada pelajar.

“HANYA ILMU SAHAJA BOLEH MERUBAH KEHIDUPAN diri, keluarga dan masyarakat. Insya-Allah, amanah ini akan saya galas untuk membela lebih ramai anak bangsa yang kurang bernasib baik sebelum ini.” Ujarnya.

Baca juga: Hampir disaman sebab tak hadir persembahan, rupanya bekas pengurus Floor 88 yang buat hal