ANALISIS: Pas umpama tikus jatuh dalam beras, buat apa bising, makan sajalah

Oleh ANALISIS Oleh BORHAN AHMAD

Sebelum menyertai kerajaan, pemimpin Pas dianggap hero kerana merekalah dianggap pejuang Islam dan Melayu dengan retorik mereka namun selepas menyertai kerajaan, mereka sudah umpama ‘tikus jatuh dalam beras’

Ini kerana, ketika mereka kononnya berjuang untuk rakyat Palestin, kerajaan yang mereka sertai dan dokong telah menghina rakyat Palestin bahkan meletakkan negara dan rakyat negara ini dalam bahaya apabila membenarkan kapal terbang pengintip Israel memasuki ruang udara negara.

Ia berlaku ketika Israel berkata, mereka akan mencari sesiapa sahaja yang menyokong Hamas hatta ke negara-negara lain di dunia termasuk Malaysia.

Kebenaran ini bukan dibantah oleh Pas bahkan ia diberikan justifikasi lagi oleh medianya, Harakahdaily, kenapa ia dibenarkan.

Menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan yang menterinya adalah Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong baru-baru ini, kerajaan sedar dan membenarkan kapal terbang Israel itu melalui ruang udara Malaysia.

Bagi Presiden AMANAH, Haji Mohmad Sabu, tidak pelik apabila kerajaan Malaysia membenarkan kapal terbang Israel melintasi ruang udara Malaysia, kerana pemimpin negara sekarang semakin rapat dengan negara negara Arab yang mengiktiraf Israel seperti UAE dan sekutunya.

Keduanya, kata beliau, Malaysia dipercayai menjadi pelobi kepada negara negara Islam supaya menormalisasikan hubungan dengan Israel.

“Inilah akibatnya apabila Malaysia di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin yang tidak lagi mengamalkan dasar berkecuali sebagaimana diasaskan oleh Allahyarham Tun Razak dan diperhebatkan lagi di zaman Tun Dr Mahathir.

“Di bawah pemerintahan yang ditadbir bersama oleh Pas pada hari ini, Israel dibenarkan menggunakan ruang udara Malaysia,” kata beliau dalam satu kenyataan ringkas ekoran kebenaran yang diberikan oleh kerajaan PN kepada Israel itu.

MCA hanya mempunyai dua ahli Parlimen dalam kerajaan PN yang didokong oleh Pas namun MCA nampaknya berjaya mengawal dasar negara walaupun Pas mempunyai 18 ahli Parlimen termasuk menteri yang menjaga undang-undang.

Dr Ismail Salleh, bekas Exco kerajaan negeri Kedah berkata, Indonesia jauh lebih bermaruah dari kerajaan Melayu Islam dan Pas hanya menjadi tunggul dalam kerajaan.

Ini berikutan tindakan Indonesia tidak memberikan kebenaran kepada kapal pengintip itu melalui ruang udaranya menyebabkan kapal terbang itu terpaksa membuat pusingan yang jauh untuk ke destinasi seterusnya iaitu Australia dari Singapura.

Bagi sesetengah pihak, Pas sekarang lebih berminat untuk mengambil kesempatan dari kerajaan yang ada untuk kantongnya. Bahkan sanggup tinggalkan rakannya dalam Muafakat Nasional kerana mahu kekal dalam kerajaan PN.

Sebab itulah timbul isu balak gergasi dari Terengganu, projek runding terus dari Bukit Payung, Marang dan sebagainya.

Bahkan Kasino di Genting Highland terus dibuka ketika semua tempat lain ditutup. Judi juga sudah jadi 22 kali sedangkan ia sudah dikurangkan kepada lapan kali sahaja ketika Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan walaupun menteri Menteri Kewangannya ketika itu adalah Lim Guan Eng dari DAP

Nampaknya betullah bidalan orang tua kita, “Umpama tikus jatuh dalam beras”. Buat apa bising-bising, makan sahajalah.