Malaysia Dateline

Analisis PRK DUN Chini: PH menyerah kalah awal kepada Langkah Sheraton

Keputusan Pakatan Harapan (PH) untuk tidak bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) adalah tidak wajar walaupun atas alasan pandemik Covid-19, tegas Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Mohamad Hisomuddin Bakar.

Menurutnya, keputusan PH untuk tidak masuk bertanding sama sekali tidak kukuh diterima oleh pengundi.

“Apabila tiada cabaran dari PH seolah-olah mereka mengaku kalah awal kepada Langkah Sheraton.

“Ini (PRK Chini) adalah PRK pertama selepas kejatuhan kerajaan PH. Sepatutnya mereka membuktikan mereka masih mempunyai wibawa untuk mencabar sebuah kerajaan yang dipimpin Perikatan Nasional (PN) sekarang,” katanya ketika menjadi tetamu Agenda AWANI malam tadi.

Beliau juga berpendapat keengganan PH meletakkan calon bertanding di Chini sebagai mengaku kalah awal terutamanya di kawasan majoriti Melayu.

“Ini adalah simbolik bagaimana mereka (PH) menyerah kalah di kawasan yang komposisinya majoriti pengundi 70 peratus Melayu.

“Bagi saya sangat tidak wajar,” tegas Hisomuddin lagi.

Semalam, Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti besar 12,650 undi melalui calonnya, Mohd Sharim Md Zain.

Beliau memperoleh 13,872 undi, mengatasi dua calon Bebas iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli, masing-masing hanya 1,222 dan 137 undi.