Analisis PRU14: Keluar dari belenggu politik payungan Umno

Siri 1

Untuk sekian lama, cabaran utama politik negara ini adalah bagaimana rakyat mampu keluar dari belengu politik payungan (political patronage) dan dominasi politik ala BN amnya, UMNO khasnya.

Sehingga malam sebelum hari mengundi, masih menjadi tandatanya setakat mana daya transformasi minda, keazaman dan keberanian rakyat untuk menggadaikan ketakutan kepada DAP khasnya dan kesetiaan mereka kepada UMNO dan mencuba sesuatu yang baru, dan memberi peluang kepada pilihan yang ada, Pakatan Harapan.

112 Wakil Rakyat Melayu Semenanjung, dan UMNO yang sangat dominan

Pada PRU13, jumlah komposisi perwakilan wakil rakyat Melayu/Muslim di seluruh negara ialah seramai 136 orang, 97 orang bersama BN dan 39 orang bersama PR ketika itu. Dari 136 itu, 112 darinya adalah di Semenanjung, manakala selebihnya datang dari Sabah dan Sarawak.

Realiti dan cabaran utama politik Malaysia terletak pada komposisi 112 wakil Melayu Muslim dari Semenanjung ini, di mana ia di dominasikan oleh UMNO dengan 73 wakil, berbanding 39 wakil PR ketika itu.

Dominasi dan komposisi yang berat sebelah beginilah sebenarnya yang menjadi punca kepada lemahnya kuasa periksa dan imbang, yang menjadi prasyarat kepada sebuah kerajaan yang kompeten, bertanggungjawab dan telus. Tanpa periksa dan imbang, lahirlah kerajaan yang tidak kompeten, tidak bertanggungjawab dan tidak telus, yang seterusnya membawa kepada pelbagai penyakit kleptokrat, korupsi, salah laku dan segala macam penyakit.

Komposisi dan suara yang ideal sepatutnya seimbang di sekitar 50 kerusi untuk kedua belah pihak, yang sebelum ini tidak boleh dibayangkan bagaimana perseimbangan ini boleh tercapai.

PRU14, transformasi perubahan lanskap politik Melayu

PRU14 yang baru berlalu sebenarnya menyaksikan satu proses transformasi yang di terjemahkan oleh rakyat melalui kertas undi, yang sekali gus merobah lanskap politik Malaysia amnya, dan di Semenanjung khas nya.

PRU14 menyaksikan bagaimana rakyat mula bangkit menghukum UMNO dengan mengundi PH dan PAS, dengan berkesudahan UMNO selamat di 46 kerusi sahaja, setengahnya amat tipis, cuma terselamat oleh perpecahan undi, angkara pertembungan tiga penjuru.

 

105 kerusi rebutan Melayu lawan Melayu

Menggunapakai PRU13 sebagai tanda aras (benchmark), satu kajian trend dominasi UMNO dalam lanskap politik Malaysia telah dibuat terhadap kerusi Melayu yang menjadi medan rebutan antara sesama wakil Melayu.

Untuk rekod, pada PRU13, UMNO telah bertanding 107 kerusi di Semenanjung, di mana dua darinya berdepan dengan lawan bukan Melayu, iaitu di Gelang Patah dan Wangsa Maju. UMNO tewas di kedua-duanya.

Kayu ukur sebenar dominasi UMNO boleh dilihat di 105 kerusi di mana UMNO berdepan secara langsung dengan calon Melayu dari Pakatan Rakyat, dengan berkesudahan UMNO menang 73, dan PR menang 32 (20 PAS + 12 Melayu PKR) pada waktu itu.

Mengambilkira zon pertembungan yang sama (iaitu kerusi Melayu UMNO lawan Melayu Bukan UMNO), hasilnya menunjukkan peratus dominasi UMNO untuk sekian lama adalah seperti berikut:

Untuk pertama kali dalam sejarah UMNO, dominasi UMNO telah dipecahkan, dan UMNO sendiri telah menjadi minoriti, berbanding gabungan parti Melayu lain. Pada PRU13, UMNO bertanding 107 kerusi, tetapi untuk PRU14, UMNO cuma bertanding 105 kerusi, dengan berkesudahan menang 46, dan kalah 59. Pertama kali dalam sejarah, kerusi yang UMNO kalah jauh lebih besar dari kerusi yang dimenangi.

Dengan pecahnya dominasi UMNO dalam lanskap politik negara, dengan diimbangi kekuatannya oleh PH, diharapkan ia menjadi langkah pertama ke arah transformasi politik baru, dan prasyarat ke arah Malaysia baru yang lebih kompeten, bertanggungjawab dan telus, yang seterusnya mampu menjadikan Malaysia – negara yang lebih rahmah untuk segenap lapisan masyarakat.

 

Bersambung Siri 2 – Percaturan dan rebutan tempat di dalam lanskap politik baru.

* Nazri Noor, STRATA Analytica pada 16/5/2018