Analisis PRU14: Menikmati natijah pencapaian transformasi politik

Bahagian II

Untuk tujuan analisis lanskap semua 165 kerusi Semenanjung, pengkategorian kerusi untuk analisis ini dibuat berdasarkan kriteria komposisi pengundi Melayu seperti berikut:

1. 27 Kerusi Melayu Tegar – 90+% Melayu
2. 45 Kerusi Melayu Majoriti – 67% hingga 89% Melayu
3. 43 Kerusi Campuran – 50% hingga 66% Melayu
4. 50 Kerusi Bukan Majoriti Melayu – <50% Melayu
1. 27 Kerusi Melayu Tegar (90+% Melayu)

Kerusi-kerusi ini secara tradisinya adalah medan pertembungan sebenar antara PAS dan UMNO. Segmen ini boleh ditafsirkan sebagai kerusi Melayu konservatif. Ada 27 kerusi kategori tegar Melayu yang melibatkan majoriti Melayu melebih 90%.

Pada PRU14, kategori kerusi ini didominasi oleh PAS yang memenangi 14, manakala UMNO memenangi 11, dan selebihnya dua kerusi di menangi oleh PKR (Bersatu), iaitu melalui Tun Dr Mahathir di Langkawi dan Dato Seri Mukhriz di Jerlun.

Dari perspektif PAS, 14 kerusi ini juga menggambarkan majoriti (78%) menjadi asas dan kekuatan sebenar PAS, berbanding dengan kesemua 18 kerusi yang dimenangi kali ini. Dari perspektif UMNO pula, kongsian pasaran UMNO telah merosot kepada 40%, berbanding 60% bukan UMNO, satu situasi terbalik dari kadar pada PRU13, 60% UMNO : 40% PR pada ketika itu.

Pada PRU13, PAS memenangi 11, manakala 16 dimenangi UMNO, dengan kadar 40 PAS : 60 UMNO. Sebelas kerusi PAS ini juga bermaksud, separuh dari kekuatan PAS, berbanding dengan keseluruhan 21 kerusi yang dimenangi pada PRU13.

Pada PRU12, PAS juga menang 11, manakala tiga dimenangi oleh PKR dan 13 dimenangi UMNO. Ini juga bermakna, kerusi-kerusi ini menggambarkan hampir separuh kekuatan PAS, berbanding dengan keseluruhan 23 kerusi yang dimenangi pada PRU12.

Sekali imbas, tidak ada perubahan ketara dari segi komposisi agihan dan lanskap kerusi kategori Melayu tegar. Pencapaian 14 kerusi PAS sebenarnya tidak banyak, berbanding 11 yang dicapainya pada kedua-dua PRU13 dan PRU12. Pendeknya, PAS cuma menumpang tuah tiga kerusi UMNO yang kehilangan lima kerusi. Dua lagi kerusi UMNO, iaitu Langkawi dan Jerlun beralih ke PH (Bersatu).

 

45 Kerusi Melayu Majoriti (67% hingga 89% Melayu)

Kerusi-kerusi ini boleh dikategorikan sebagai kerusi demografi kelas pertengahan bawah yang menjadi rebutan untuk rebutan pasaran pengundi Melayu campuran konservatif dan progresif, Melayu separa bandar (urban Malays), dan Melayu terdidik (educated Malays). Ada 45 kerusi tergolong dalam kategori ini, dengan julat dan domain yang sangat kontra, seperti Baling, Sabak
Bernam dan Titiwangsa.

Secara tradisi, kerusi-kerusi ini masih didominasi oleh UMNO, iaitu 71% penguasaan (32 kerusi) pada PRU12 dan 82% penguasaan (37) pada PRU13. Bagaimanapun, UMNO mengalami penurunan mendadak 18%, setelah kehilangan lapan kerusi, mampu bertahan 29 kerusi, berbanding 37 yang dimenangi pada PRU13.

PH (PKR) berjaya menambah sembilan kerusi, dengan memenangi 12 kerusi, satu lonjakan besar dari tiga kerusi yang di menangi pada PRU13.

PAS hanya memenangi empat kerusi (kurang dari 10% pasaran) untuk sektor ini. Ini juga memberi gambaran bahawa sokongan PAS makin merosot sejak tiga PRU, iaitu dari 18% (lapan kerusi), menjunam ke tahap 8.6% (empat kerusi) untuk kategori Melayu progresif, Melayu separa bandar dan Melayu terdidik.

Apa yang ketara ialah hilangnya pengaruh dan sokongan PAS di kawasan kerusi Melayu majoriti, yang juga mewakili pengundi separa bandar (urban Malays), Melayu progresif dan Melayu terdidik (educated Malays). Pencapaian empat kerusi pada PRU14 adalah separuh dari kekuatan lapan kerusi yang dicapai. Dan PAS mengalami trend menurun dalam tempoh 10 tahun.

 

43 Kerusi Campuran (50% hingga 66% Melayu)

Segmen kerusi ini boleh dikategorikan sebagai kerusi di pingir bandar, kerusi Melayu elit di bandar-bandar, dan segmen pengundi Melayu pertengahan atas, yang secara tipikal mendiami taman-taman perumahan di sekitar bandar-bandar utama seperti Kuantan, Wangsa Maju, Sungai Petani dan Johor Bahru. Mereka ini adalah golongan educated Malays, terbuka dengan
kaum lain dan sangat pragmatik.

Dari 43 kerusi yang tergolong dalam kategori ini, PH mendominasi segmen in dengan hampir 90% (memenangi 36, dari 43), manakala tujuh kerusi dimenangi oleh UMNO. PAS gagal memenangi sebarang kerusi di segmen ini.

UMNO mengalami penurunan mendadak dari 28 Kerusi (65% pada PRU12), menjunam ke tahap tujuh kerusi (16%) 15. PH berjaya menambah peningkatan tiga kali ganda, dari 12 kerusi (PRU12), hingga ke tahap 36 kerusi (86%) pada kali ini.

Sementara PH mengalami lonjakan pencapaian tiga kali ganda, sokongan BN telah merosot empat kali ganda, dan PAS gagal mendapat tempat di kalangan kerusi campuran dan multi etnik.

 

50 Kerusi Bukan Majoriti Melayu

Kategori kerusi ini didominasikan oleh PH, dengan memenangi semua, kecuali dua kerusi.

Untuk sekian lama sehingga PRU11 (2004), kerusi-kerusi ini adalah kubu kuat dan safe deposit untuk BN. Bagaimanapun, sejak tsunami Cina dan India pada PRU12 (2008), yang menyaksikan peralihan sokongan secara en-bloc dari BN ke PH, segmen kerusi ini sudah boleh dikira sebagai kerusi pasti, kubu kuat dan safe deposit untuk PH.

Kecuali untuk kerusi Tapah dan Cameron Highlands, BN hilang penguasaan dan kongsian pasaran di sektor ini. MIC yang mewakili BN sangat bernasib baik menang tipis di Cameron Highland dengan undi popular cuma 42% dan majoriti 597, jauh lebih kecil berbanding undi yang di raih oleh PAS dan Berjasa dalam pertandingan lima penjuru di sana.

Nasib (baik) yang sama menyebelahi calon MIC yang mewakili BN untuk Tapah. Beliau menang tipis dengan majoriti 614, jauh lebih kecil dari 4,616 undi yang diraih oleh calon PAS.

Ringkasnya, jika tidak kerana kekacauan pelbagai penjuru dan pecahan undi dari PAS, asas kerusi BN sudah terhakis sama sekali dari kerusi bukan majoriti Melayu sebegini.

Bersambung Siri 3 – Percaturan dan mengambil tempat dalam lanskap baru.

Nazri Noor, STRATA Analytica. 16/5/2018

CATEGORIES
TAGS