Malaysia Dateline

ANALISIS: Selepas berjaya di panggung, Mat Kilau kini sedang mewarnai tema kempen PRU-15

Ekoran kejayaan filem “Mat Kilau”, tumpuan politik Malaysia seolah-olah dipengaruhi oleh filem ini apabila Melayu dan Islam menjadi tema utama politik Malaysia sejak akhir-akhir ini.

Kumpulan utama yang menggerakkan produksi “Mat Kilau”, iaitu Isma menggerakkan Festival Hari Peradaban Melayu 2022 atas nama Pembela 30 Ogos semalam.

Ekoran festival itu, Pembela menggesa kerajaan agar mengisytiharkan 1 Muharram sebagai hari peradaban Melayu. Tetapi kerana Isma berada di belakang, ramai yang skeptikal dengan usaha ini berdasarkan track rekod NgO ini.

Rasanya semua parti politik Melayu di Malaysia samada Umno, Pas, AMANAH, Bersatu ataupun Pejuang setuju bahawa Malaysia sebagai sebuah negara yang majoriti rakyatnya berbangsa Melayu dan beragama Islam, agenda perjuangan Melayu Islam perlu diutamakan.

Namun persoalannya, Melayu yang macam manakah yang perlu menjadi sasaran perjuangan orang Melayu dan Islam di Malaysia. Inilah persoalan utama yang menjadi perbincangan sejak akhir-akhir ini.

Serentak dengan perhimpunan yang dianjurkan Pembela di Stadium Bolasepak KLFA Cheras semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad dan rakan-rakannya juga telah menganjurkan Persidangan Meja Bulat: Penjenamaan Semula Naratif Politik Melayu. Ia semacam usaha beliau untuk menarik kembali sokongan kepada Pejuang selepas tewas teruk di PRN Johor.

Sebelum kedua-dua kumpulan ini mengadakan perhimpunan dan sidang meja bulat, bekas Menteri Agama Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan rakan-rakannya telah dua kali mengadakan sidang meja bulat bagi membincangkan agenda Melayu ini. Kedua-duanya diadakan secara diam-diam dan tidak melibatkan media.

Temanya hampir sama, Melayu macam manakah yang seharusnya menjadi sasaran atau harapan orang Melayu di negara ini.

Pada 20 Jun, Mujahid telah memimpin satu sidang meja bulat pertama di Hotel Tamu, Kampung Bharu, Kuala Lumpur di mana kira-kira 20 pemimpin dan tokoh Melayu telah berkumpul dalam sidang meja bulat itu.

Sebulan kemudian, iaitu pada 20 Julai, sidang meja bulat kedua Inisiatif Melayu ini diadakan di sebuah hotel dekat Kuala Lumpur. Ia disusuli dengan satu kenyataan oleh Dr Mujahid pada keesokan harinya.

Dr Mujahid dan rakan-rakannya mengadakan sidang meja bulat kedua bagi membincangkan inisiatif agenda Melayu untuk negara ini.

Menurut kenyataan itu, satu inisiatif nasional sedang digerakkan untuk meletakkan asas penting Malaysia yang bermaruah.

Bagi beliau, kejadian dan suasana kepimpinan politik yang hilang kompas moral membimbangkan berbagai pihak.

“Ini termasuk nilai songsang yang cuba ditanamkan dengan memaparkan penjenayah yang telah sabit kesalahan diberikan gelaran yang bukan-bukan termasuk “Apa malu, bossku” sehingga boleh menjatuhkan tiang seri utama kompas moral rakyat,” kata beliau yang dipercayai ditujukan kepada Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Mujahid, kehadiran golongan ilmuan, cendikiawan dan aktivis serta golongan profesional dalam inisiatf ini diharapkan dapat mencetuskan satu kesedaran nasional betapa pentingnya kompas moral negara yang betul.

“Selain kegersangan kepimpinan politik yang berkualiti dan mempunyai kompas moral yang betul, isu sosial dan keluarga akibat dari kesempitan hidup dan tekanan kenaikan harga barangan semakin membimbangkan,” katanya.

Katanya, Melayu sebagai tonggak kepimpinan negara perlu menjadi contoh dengan pendekatan yang lebih berintegriti dan penuh rahmah dan hikmah memimpin negara.

“Gelombang menolak kepimpinan yang rasuah dan hilang kompas moral perlu digembelingkan demi masadepan negara yang lebih sejahtera,” katanya menerusi kenyataan itu.

Dengan Umno yang teras perjuangannya Melayu tetapi telah rosak kompas nilainya melalui kempen “Malu apa bossku” manakala Pas yang berteraskan perjuangan Islam tetapi gagal dalam melaksanakan apa yang dicakapnya selepas berada dalam kerajaan, kini umat Melayu Malaysia mencari tema perjuangan baharu.

Perjuangan itu hendaklah yang meletakkan Melayu yang lebih bermaruah yang bukan sekadar pandai bercakap sahaja tetapi gagal selepas diberikan mandat perlu mengambil alih kepercayaan majoriti rakyat negara ini.