Ancaman bagi Melayu adalah jatuhnya Umno, kata bekas ketua hakim

Ancaman bagi Melayu adalah jatuhnya Umno, kata bekas ketua hakim


Ancaman yang paling serius terhadap orang Melayu dan Islam adalah ancaman kemungkinan jatuhnya kerajaan Umno-BN  dan Pas perlu keluar dari kotak "pemikiran Kelantan" dan "sindrom hudud" bagi memastikan kelangsungan kuasa orang Melayu dan Islam di negara ini.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Tun Abdul Hamid Mohamad

Ancaman yang paling serius terhadap orang Melayu dan Islam adalah ancaman kemungkinan jatuhnya kerajaan Umno-BN  dan Pas perlu keluar dari kotak “pemikiran Kelantan” dan “sindrom hudud” bagi memastikan kelangsungan kuasa orang Melayu dan Islam di negara ini.

Ini kerana, kata bekas ketua hakim negara Tun Abdul Hamid Mohamad, jika pakatan pembangkang menang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti, parti yang akan mendominasi kerajaan adalah DAP.

“DAP akan mendominasi, bukan PKR atau Pas. Biar apapun hak dan kedudukan orang  Melayu dan agama Islam akan terhakis  sebab orang bukan Melayu dan bukan beragama Islam di kalangan kaum Cina bersatu di belakang DAP sebab mereka mahu lebih.

“Dari mana ‘yang lebih’ itu akan datang jika tidak daripada orang Melayu dan  Islam,” ujarnya dalam Multaqa Perpaduan Ummah yang diadakan di Bangi hari ini.

Abdul Hamid selaku Penasihat dan Pakar Rujuk Multaqa Perpaduan turut berkata,  suka atau tidak orang Melayu perlu pertahankan Umno daripada tumbang.

Oleh itu gesanya semua parti Melayu dan Islam hendaklah bekerjasama.  Manakala NGO Melayu dan Islam juga ujarnya hendaklah menyokong kerjasama itu.

“Semua orang Melayu dan Islam yang sayangkan hak dan kedudukan orang Melayu dan Islam hendaklah menyokong kerjasama ini (kerjasama Umno-Pas),” ujarnya.

Kata beliau lagi, dua kumpulan terbesar yang perlu diberi tumpuan adalah Umno dan Pas.  Ini kerana  pemimpin dua parti Melayu terbesar itu sebenarnya sudah tidak ada  perbezaan ideology atau prinsip lagi.

“Apa yang ada hanya alasan yang diada-adakan atau dibesar-besarkan untuk menunjukkan bahawa ada perbezaan untuk tujuan mendapat sokongan dan undi pilihan raya.

“Sebenarnya hanya ada satu halangan iaitu kepentingan diri masing-masing kerana takut kehilangan atau kekurangan kuasa, pendapatan dan kedudukan  masing-masing.” ujarnya.

Tegas Abdul Hamid lagi, pemimpin Umno terutamanya hendaklah sedar diri dan membersihkan diri dan imej kerajaan yang diterajui sejak sekian lama ini.

“Sebagai sebuah parti Melayu dan Islam tertua, Umno berada di atas landasan yang betul. Apa yang merosakkan Umno dan menyebabkan orang benci kepada Umno adalah pemimpin-pemimpinnya,” ujar beliau.

Beliau juga menegur  agar Pas dapat keluar dari kotak “pemikiran Kelantan’ dan “sindrom hudud” bagi memastikan kelangsungan kuasa orang Melayu dan Islam di negara ini.

“Dalam keadaan hari ini Pas hendaklah beri tumpuan kepada isu pokok yang dihadapi orang Melayu dan Islam, bukan isu-isu yang diada-adakan atau dibesar-besarkan hanya untuk menarik undi dengan mudah dan murah.

“Semua orang Melayu  tak kira parti mana perlu membuat keputusan setelah berfikir, bukan membuat keputusan kerana marah,” ujarnya.

Multaqa diadakan hari ini adalah rentetan daripada siri persidangan meja bulat di seluruh negara yang dianjurkan Majlis Dakwah Negara (MDN) bagi mendapatkan
pandangan umum mengenai isu perpecahan umat Islam.

Multaqa Perpaduan ini berkonsepkan forum berdebatan telah dipengerusikan oleh Tan Sri Dr Zulkarnain Awang dan beberapa penasihat dan pakar rujuk dalam multaqa ini antaranya Tun Dr Abdul Rahman Arshad, Tun Abdul Hamid Mohamad, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Datuk Syed Danial Syed Ahmad.

Manakala Jawatankuasa Pemandu Multaqa Perpaduan Ummah ini terdiri daripada Timbalan Pengerusi Datuk Zakaria Stapa, Naib Pengerusi Datuk Abdul Halim Abdul
Kadir. Prof Madya Dr Ruzman Mohd Noor dan Zaid Kamaruddin; Setiausaha Dr Muhammamd Razak Idris dan lima Ahli Jawatankuasa yang terdiri daripada Datuk
Kamilia Ibrahim, Datuk Wan Mohamad Sheik Abd Aziz, Datuk Abdul Halim Hamad dan Sheikh Anwar Zainal Abidin.

(dari kanan) Tun Abdul Hamid Mohamad, Dr Yusri Mohamad, Profesor Emiretus Datuk Mahmood Zuhdi  dan Dr Zakaria Stapa.

 

 

 

TAGS