Malaysia Dateline

Ancaman koronavirus: Perkenal garis panduan pemakanan bersih, halal

Biarpun cara jangkitan koronavirus 2019-nCoV masih belum diketahui secara jelas, kerajaan dilihat perlu meningkatkan kesedaran rakyat tentang pemakanan halal dan haram menurut panduan ditetapkan dalam Islam.

Timbalan Penasihat Umum AMANAH, Datuk Ustaz Abdul Ghani Samsudin berkata, Malaysia perlu melihat situasi ketika ini untuk menaikkan semula imej Islam memandangkan punca awal wabak tersebut dikenalpasti dari perdagangan hidupan liar secara haram di pasar di ibu kota wilayah Hubei, Wuhan.

Menurutnya, pada ketika ini adalah ruang terbaik bagi kerajaan memperkenalkan garis panduan pemakanan yang halal ke seluruh negara yang secara tidak langsung dapat mencegah penularan penyakit berbahaya.

“Kita (kerajaan) perlu menjelaskan kepada masyarakat tentang pengambilan makanan yang bersih lagi halal dengan meningkatkan kualiti kefahaman mereka agar dapat disebarluas kepada seluruh negara.

“Kita tunjukkan pada mereka bagaimana Islam menyelamatkan umat dan manusia daripada bencana yang datang dari daging haram seperti binatang-binatang liar menurut hukum syarak,” dipetik dari Mingguan Amanah.

Ustaz Abdul Ghani berkata, ketika ini kerajaan perlu menyebarluaskan lagi ilmu pemakanan halal Islam sehingga disambut baik oleh seluruh dunia sebagai rahmat untuk semua.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia agar lebih berhati-hati menghadiri majlis atau berada di tempat tumpuan awam.

Jelasnya, orang ramai perlu sentiasa mengikuti perkembangan rasmi media kerajaan untuk mendapatkan maklumat terkini agar dapat membendung penyebaran berita-berita palsu.

“Kita perlu mengikuti dan mendengar penjelasan pihak yang berwajib dan pihak yang menjaga kepentingan masyarakat supaya kita lebih berpengetahuan dalam menghadapi penularan wabak membawa maut itu.

“Saya nasihatkan, jangan mudah terpengaruh. Kita perlu jadi manusia yang baik dan beri peluang pada agensi berkaitan untuk memulihkan keburukan (penyebaran maklumat palsu) yang sedang berlaku,” ujarnya lagi.