Malaysia Dateline

Ancaman koronavirus: Rumah disyaki dijangkiti dikunci, mayat terbaring di tepi jalan

Tular rakaman video sebuah rumah di lokasi terjejas dengan jangkitan 2019 novel coronavirus (2019-nCoV) dikunci dari luar oleh unit penguatkuasa tempatan ekoran ancaman penularan wabak itu.

Pelekat pemberitahuan juga ditampal di sisi pintu itu yang memaklumkan penghuni rumah tersebut mempunyai hubungan dengan individu yang berulang-alik dari Wuhan.

“Jangan ada sentuhan atau hubungan,” antara yang tertera pada pelekat berwarna merah itu.

Dalam video berdurasi seminit itu juga kedengaran suara penghuni rumah itu menjerit meminta supaya pintu dibuka.

Sementara itu, seorang lelaki dipercayai berusia 60-an ditemui mati di kawasan pejalan kaki di bandar raya Wuhan.

Mayat yang masih memegang beg plastik ditemui terbaring dalam keadaan memakai penutup mulut dan hidung.

AFP melaporkan tiada orang yang berani untuk mendekati mayat itu sehingga pasukan kecemasan tiba di lokasi kejadian.

Kakitangan perubatan yang memakai sut keselamatan lengkap kemudian tiba dengan ambulans. Bagaimanapun, punca kematian mangsa itu masih belum diketahui.

Wabak koronavirus disahkan merebak ke seluruh China dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam mengumumkan status darurat kesihatan awam global apabila ia telah merebak ke 18 negara.

Wuhan yang terletak dalam wilayah Hubei menjadi lokasi tercetusnya wabak koronavirus di China dengan sebanyak 213 kematian dan 9,816 kes dijangkiti.

Sebuah rumah di wilayah terjejas wabak dikunci dari luar oleh pihak penguasa tempatan.