Ancaman novel koronavirus: Angka terus meningkat kepada 171 kematian, 8,241 kes dijangkiti

Oleh ARIF ATAN

 

Kerajaan China hari ini melaporkan 38 kematian akibat koronavirus dalam tempoh 24 jam lalu, kadar tertinggi sejak penularan virus itu bermula Disember lalu.

Kematian terbaharu dilaporkan di Hubei, menjadikan jumlah keseluruhan 171 orang maut setakat jam 11 malam ini selain 8,241 individu sudah dijangkiti koronavirus baharu mirip Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).

Selain China, sebanyak 21 negara mengesahkan kes jangkitan. Terbaharu Filipina mengesahkan kes pertama koronavirus.

Mangsa seorang wanita warga China berusia 38 tahun dari Wuhan tiba di Filipina pada 21 Januari lalu.

India turut mengesahkan kes pertama jangkitan 2019 novel koronavirus (2019-nCoV) melibatkan seorang pelajarnya yang menuntut di Universiti Wuhan, China.

Pelajar yang berasal dari selatan Kerala itu didapati positif ujian untuk koronavirus.

Penularan wabak jangkitan 2019 novel koronavirus (2019-nCoV) antara manusia ke manusia sekali gus mendorong pelbagai negara melarang rakyatnya mengunjungi China selain menyekat sempadan atau kemasukan pelancong China.

Beijing juga kini mengambil langkah tambahan bagi menghalang virus itu merebak termasuk lebih 50 juta rakyatnya di Wuhan dan sekitar wilayah Hubei dikuarantin.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China berkata, lebih daripada 81,000 orang di bawah pemantauan kerana berkemungkinan terkena jangkitan, lapor AFP.

Di Jerman, hanya kerana seorang pekerja wanita warga China membawa virus, tiga rakyat tempatan turut dijangkiti. Warga China itu baru pulang dari negaranya. Akibatnya, syarikat mereka bekerja ditutup sementara sehingga Ahad ini.

Sementara itu, Malaysia mencatatkan lapan kes jangkitan di Malaysia kesemuanya membabitkan warga China.

Sabah bertindak menggantung semua penerbangan dari China selepas mengambil kira kepentingan rakyat negeri itu.

Sementara itu, Masjid Sultan yang menjadi tarikan pelancong utama di Singapura ditutup buat sementara selepas berlakunya kes pertama jangkitan koronavirus.

Republik itu sudah mencatatkan tiga kes jangkitan baru menjadikan jumlah keseluruhan 13 kes.