Anda, dakwah dan LGBT

Anda, dakwah dan LGBT

(Sedutan kertas kerja yang dibentangkan dalam Seminar Peradaban dan Kecelaruan Gender Kontemporari 2018 di Kuala Terengganu)

Latar Belakang

Sebagai agama yang praktikal, Islam merupakan panduan cara hidup dari segala aspek kehidupan termasuk seksualiti manusia. Walaupun Islam mengesahkan hubungan seksual dalam perkahwinan sebagi suatu nikmat dan salah satu daripada rahmat Allah SWT kepada insan, namun pada waktu yang sama Islam menegah sekeras-kerasnya melakukan hubungan seksual luar nikah. Islam akan menghukum mereka yang terlibat dengan jenayah seks seperti zina, rogol dan liwat.

Kisah Umat Nabi Lut a.s. di dalam al-Qur’an.

Solah al-Khalidi di dalam kitabnya Al-Qasas al-Quran ‘Ardu Waqa’i‘ wa Tahlil Ahdath menjelaskan bahawa kisah berkenaan Nabi Lut a.s. dan umatnya disebutkan oleh Allah SWT sebanyak 27 kali di dalam al-Qur’an. i) Kisah secara terperinci mengenai Nabi Lut a.s. bersama umatnya yang mengisahkan penyelewengan akhlak mereka, dakwah Nabi Lut kepada umatnya agar dibersihkan perlakuan mereka yang salah, penolakan dakwah oleh umatnya serta menerangkan azab dan seksa ke atas umatnya. ii) Kisah yang disebutkan secara sepintas lalu mengenai Nabi Lut a.s. iii)Ayat yang menyatakan nama Nabi Lut a.s. sebagai sebahagian dari nama para Nabi.

Maksud Ayat 80-84, Surah al-A’raaf:

Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? (80) “Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas”. (81) Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata: “Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikut – pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) mensucikan diri”. (8 2) Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) melainkan isterinya, adalah ia dari orang- orang yang dibinasakan. (83) “Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan”. (84)

LGBT Menurut Islam

al-Qal‘ajiy memberikan takrif liwat seperti berikut: Persetubuhan seorang lelaki dengan lelaki lain pada duburnya Sementara itu, menurut Al-Sayyid Sabiq, alSihaq merupakan pergeselan kelamin di antara seorang perempuan dengan perempuan yang lain tanpa memasukkan sesuatu ke dalam faraj.

Jantina Menurut Islam

FirmanNya di dalam ayat 13, surah al-Hujurat menjelaskan, jantina seseorang individu merupakan faktor asasi dan merupakan faktor penentu di dalam riwayat hidup seseorang semenjak dia lahir hingga meninggal dunia. (Noorfaizah Asmuni 2002) Islam menetapkan jantina kerana Islam mempunyai undang-undang yang mesti dipatuhi di mana hak-hak lelaki dan perempuan adalah berbeza. Sebagai contoh di dalam undang-undang pernikahan (munakahat), syarat sah pernikahan ialah mesti berlaku di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Jika syarat ini tidak dipatuhi, maka pernikahan tersebut tidak sah dan pergaulan juga menjadi haram (Asmungi Sidek 2001).

Petunjuk al-Sunnah Mengenai LGBT

Al-Sunnah merupakan sumber pengharaman kedua kepada perlakuan seksual sejenis selain al-Qur’an. Justeru, perbuatan homoseksual (liwat dan alsihaq) serta transgender atau perbuatan wanita menyerupai lelaki dan lelaki menyerupai wanita (al-mutasyabbih).

LGBT Menurut al-Sunnah

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Jika kamu dapati seseorang melakukan amalan kaum Lut, bunuhlah pelaku dan orang yang dilakukan perlakuan itu.” (Hadith riwayat Imam al-Tirmizi) Al-Khattabi dalam Ma‘alim al-Sunan mengatakan bahawa perbuatan kaum Nabi Lut ini dihukum dengan sedemikian berat, kerana para fuqaha’ merujuk kepada maksud di sebalik seksaan dan azab Allah SWT yang telah menghujani batu ke atas kaum Lut sehingga mereka terbunuh semuanya.

Definisi LGBT

Lesbian – kaum perempuan yang tertarik (secara seksual atau romantiknya) terhadap perempuan yang lain Gay – kaum lelaki yang tertarik (secara seksual atau romantiknya) terhadap lelaki yang lain. Biseksual – seseorang yang tertarik (secara seksual atau romantiknya) terhadap lelaki dan perempuan. Transgender – seseorang yang identiti jantina atau ekspresi jantinanya berlawanan atau bertentangan dengan norma tradisi serta ciri fizikal seksualnya.

Statistik LGBT di Malaysia

Menurut Profesor Klinikal Dr. Hatta bin Sidi, Ketua Jabatan Psikiatri & Pakar Perunding Kanan Psikiatri, Pusat Perubatan UKM, Kuala Lumpur, sebanyak 20 kes individu terlibat dengan LGBT diterima setiap tahun (lama dan baru).

Menurut Chun (2013), berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan Malaysia, komuniti gay dan lesbian dianggarkan sekitar 173,000 orang di Malaysia, meliputi 2% dari keseluruhan penduduk di Malaysia. Manakala menurut Yik (1988) pula, terdapat seramai 10,000 orang Mak Nyah di seluruh negara. Daripada jumlah itu, 70%-80% adalah dari etnik Melayu dan selebihnya adalah dari etnik Cina, India dan lain-lain.

Hasil kajian Yik pada 2011 juga mendapati, lebih kurang 65% Mak Nyah bekerja sebagai pelacur, 25% sebagai penghibur kelab, salon kecantikan dan rambut serta butik, 8 % bekerja dengan syarikat swasta dan 2 % adalah peniaga warung makanan.

Kajian terdahulu LGBT di Malaysia

Dapatan kajian oleh Ismail Baba (2001) menunjukkan kebanyakan gay dan lesbian Muslim di Malaysia memilih tidak menzahirkan identiti dan orientasi seksual mereka kerana suasana dan persekitaran yang tidak membantu dan menyokong seandainya mereka mendedahkan identiti mereka.

Rafdah (2003) menyatakan terdapat 6 jenis lesbian di Malaysia iaitu: Lesbian yang jelas – Mereka mengisytiharkan mereka adalah lesbian dan berbangga dengan cara hidup mereka. Lesbian yang ketagih – Mereka yang inginkan perempuan yang sejenis dengan mereka untuk dijadikan pasangan tidur mereka. Lesbian yang berahsia – Ada di antara mereka telah berkahwin dan kegiatan mereka tidak diketahui oleh suami mereka. Lesbian yang menyesuaikan diri dengan suasana – Boleh berubah mengikut keadaan dan boleh hidup sebagai lesbian. Lesbian bermusim – mencari pasangan sejenis di kolej ketika tiadanya teman lelaki. Hanya 10% akan kekal lesbian, dan majoritinya akan menjalani kehidupan sebagaimana perempuan biasa. Lesbian pelacur – mengadakan hubungan seksual sesama jenis demi mendapatkan duit.

Berdasarkan rumusan kajian yang dilakukan oleh Mohd Izwan Md Yusof (2016), golongan LGBT Muslim di Malaysia dapat dikategorikan kepada 3 golongan: Golongan pertama – yang telah berubah dan memerlukan sokongan daripada keluarga dan masyarakat. Golongan kedua – yang masih terlibat, namun wujud rasa penyesalan dalam diri dan sedang berusaha bermujahadah menghadapi ketertarikan seksual sesama jenis. Masyarakat harus memberikan bimbingan dan sokongan serta mengelakkan diri daripada memberi tohmahan kepada mereka. Golongan ketiga – yang meyakini ketertarikan seksual sesama jenis ini telah ditakdirkan dan akan menjalani kehidupan sebagaimana yang telah ditakdirkan Allah SWT. Golongan LGBT dalam kategori ini perlu ditangani melalui dialog dan berhujah dengan mereka berdasarkan pendekatan yang hikmah.

* Penulis adalah Penolong Pengarah Kanan Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

COMMENTS

Wordpress (0)