Andi Arsyil rela datang KL tonton teater, ini respon Puteri Sarah – “Insya-Allah kalau..”

Oleh WAN SITI AMINAH

Desas-desus mengenai kedekatan pelakon sensasi, Puteri Sarah Liyana dengan Andi Arsyil iaitu selebriti asal Indonesia nampaknya kian berhembus kencang.

Mana tidaknya, hubungan antara dua ‘rakan perniagaan’ itu dilihat semakin akrab dan begitu mesra sehingga menjadi tumpuan ramai khususnya di kalangan peminat.

Spekulasi itu dikuatkan lagi dengan kehadiran Andi di bangku penonton pementasan teater Pak Pandir bersama Labu Labi yang disertai Puteri Sarah pada Jumaat lalu.

Terharu dengan kehadiran pelakon Ketika Cinta Bertasbih itu, Puteri Sarah sempat memuat naik gambar mereka berdua bersama ucapan terima kasih di akaun Instagramnya.

Seperti yang dijangka, ruangan komen dipenuhi dengan usikan dan doa peminat agar bekas isteri pengarah, Syamsul Yusof itu meraih kebahagiaan selepas bercerai.

Namun begitu, pemilik nama sebenar Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin itu belum bersedia untuk berkongsi sejauh mana hubungannya dengan Andi setakat ini.

Wanita berusia 38 tahun itu mengakui tidak mahu mengulangi kegagalan dalam hubungan buat kali kedua seperti yang pernah dilaluinya sebelum ini, lapor Mstar.

“Masih terlalu awal untuk bercakap, saya takut juga. Takut pisang berbuah dua kali. Jadi kita tengok dahululah macam mana,” katanya memetik laporan Mstar.

Tampil menjawab spekulasi, Puteri Sarah memaklumkan bahawa tujuan kedatangan Andi ke Panggung Sari, Istana Budaya itu hanyalah untuk menyokong kerjayanya.

Saling menyokong antara satu sama lain, Sarah mengakui dirinya bersama pasukan akan melakukan perkara yang serupa sekiranya Andi memerlukan sokongannya.

Tidak menonton teater tersebut seorang diri, pemuda kelahiran Sulawesi Selatan, Indonesia itu ‘terbang’ ke Kuala Lumpur bersama beberapa rakan sepasukannya.

Jelas Puteri Sarah, kehadiran pemuda berusia 36 tahun itu tidak dirancang sebaliknya hanya kebetulan berikutan perlu menghadiri mesyuarat perniagaan di ibu kota.

“Kami rancang nak buka kilang di sini. Insya-Allah kalau berjalan lancar, kilang akan beroperasi. Macam hari itu, dia datang Sepahtu Reunion kerana ada mesyuarat. Kali ini juga sama.” Ujarnya.

Terdahulu, Puteri Sarah pernah mendirikan rumah tangga bersama Syamsul pada 8 Mac 2014 sebelum pasangan itu sah bercerai talak satu pada 14 Jun 2023 lalu.

Hasil perkongsian hidup selama sembilan tahun, Syamsul dan Puteri Sarah dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 5 tahun.

Baca juga: Hanya mampu bawa ulat sagu sebagai lauk, murid malu diejek guru