Andika Putera nak jadi Perdana Menteri, akui ada buat persiapan – “Nak kata gila? Katalah”

Oleh WAN SITI AMINAH

Pempengaruh kontroversi, Andika Putera sebelum ini mencuri tumpuan ramai selepas menyatakan hasratnya untuk membeli bangunan pencakar langit iaitu Tun Razak Exchange (TRX) di Kuala Lumpur suatu hari nanti.

Andika yang juga merupakan usahawan itu sekali lagi menjadi sorotan baru-baru ini selepas mendedahkan impiannya untuk menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Pemilik nama sebenar Muhammad Andika Putera Salleh itu juga mendakwa sudah mula melakukan persiapan untuk menggapai impiannya namun mengakui perlu berhadapan dengan pelbagai ‘ujian’.

Menyedari impiannya mungkin dihujani kritikan, pempengaruh berusia 27 tahun itu bagaimanapun tidak menghiraukan pendapat orang lain termasuklah mereka yang menyifatkan ideanya gila.

“Saya nak jadi Perdana Menteri, itu impian saya. Orang nak kata gila, katalah. Saya ada matlamat sendiri iaitu nak menjadi seorang pemimpin yang baik. Saya ada juga melakukan persiapan.

“Tetapi saya banyak diuji untuk mendapat benda (impian) itu. Allah akan berikan apa yang diminta hambanya. Namun akan disertakan dengan ujian. Kau kena lepasi ujian itu untuk menjadi apa yang kau nak,” katanya.

Perkara itu didedahkan oleh Andika menerusi satu sesi audio siar atau ‘podcast’ iaitu YouCast yang mana sedutan rakamannya dimuat naik di TikTok sebelum disiarkan di platform Youtube.

Dalam sesi itu, Andika juga sempat menitipkan pesanan buat pempengaruh di luar sana supaya kuat berhadapan dengan ujian yang menimpa untuk mencapai impian mereka.

“Contoh macam orang yang nak jadi pempengaruh. Dia nak pengikut berjuta orang. Tetapi apabila kena kecam sedikit sahaja, sudah tak boleh (mengalah untuk teruskan).

“Jadi buat pempengaruh di luar sana. Sekiranya anda nak capai impian kamu semua, capailah. Tetapi kamu semua kena hadaplah ujian sebesar mana impian yang diingini,” ujarnya lagi.

Seperti dijangka, tinjauan mendapati rata-rata pengguna membanjiri ruangan komen perkongsian itu dengan kritikan memandangkan impian Andika sememangnya sukar digapai.

Ramai juga pengguna berpendapat bahawa Andika tidak mempunyai ciri-ciri Perdana Menteri terutamanya dalam menjaga kebajikan rakyat berdasarkan layannya terhadap bekas isteri.

“Macam mana Andika nak menjadi Perdana Menteri kalau masa nikah dahulu pun tak sanggup nak balik kampung isteri? Nak berkorban untuk isteri pun susah, apalagi untuk rakyat,” kata seorang pengguna.

“Kalau kau yang jadi Perdana Menteri, aku berpindah dari Malaysia ini Andika. Ambillah kau Malaysia ini.” Kongsi pengguna lain menyatakan pendapatnya di dalam nada berseloroh.

Malah segelintir besar pengguna TikTok juga berkongsi pandangan bahawa pempengaruh berkenaan tidak boleh menjadi Perdana Menteri kerana pertuturannya sukar untuk difahami tanpa bantuan sari kata.

Baca juga: Ramai tak tahu jika bukan kerana Tunku Abdul Rahman, Malaysia mungkin dinamakan Langkasuka