Malaysia Dateline

Aneh Pas salahkan rakyat yang dikurung hampir setahun

Apa yang diidamkan oleh Pas, iaitu menguasai Putrajaya telah tercapai walaupun dengan menggunakan kaedah pintu belakang atau tebuk atap.

Apa yang nyata, kuasa serta kedudukan telah dimiliki sepenuhnya di peringkat Putrajaya dan juga tiga negeri dominan Melayu Islam Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Tidak semena-mena Mohktar Senik, Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Pusat dan mantan Ketua Dewan Ulama Pas Pahang menegur kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan RTM untuk menghentikan ‘program maksiat’.

Setahu kita, program drama RTM merupakan lakonan semata-mata sementara judi di Kasino Genting, cabutan judi Magnum serta Sport Toto dan pembuatan arak Carlsberg di Malaysia adalah benar-benar wujud secara ‘real’ yang disertai oleh manusia yang berminat dan bernafsu, walaupun pada masa darurat.

Adakah lakonan lebih tinggi maksiatnya daripada perbuatan yang memporak-perandakan keluarga yang rosak kerana judi dan mabuk arak tidak kira agama dan bangsa?

Lagi pun Kasino Genting di mana terdapat judi serta arak terletak di negeri Mokhtar Senik iaitu Pahang.

Yang anehnya, Pas sekarang adalah dalam kerajaan Malaysia dan memerintah tiga negeri dominan Melayu Islam. Jadi, adakah beliau marah pada kerajaan Melayu Islam sendiri?

Kalau dah jadi kerajaan perintahlah secara yang dijanjikan dan dikehendaki, jangan marah kerajaan sendiri kerana Presiden, Timbalan serta Setiausha Agung Pas dan beberapa tokoh lain bertaraf Menteri kerajaan.

Ahli Parlimen dan pemimpin Pas mengetuai JAKIM dan YADIM – pusat dakwah Islam diketuai ulama Pas. Apa lagi Pas mahu dikuasai yang tidak cukup?

Menteri Agama, Datuk Zulkifli Al Bakri, orang Terengganu adalah rakan rapat Presiden Pas, Dato Seri Hadi Awang.

Dengan kedua-dua JAKIM dan YADIM diketuai orang kuat Pas, kita menjangka kemajuan pendekatan Islam dan dakwah menyeluruh berlaku.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2430931880384063&id=251826234961316

Pembaharuan ulama Pas

Apa kita dapati adalah ‘kemajuan’ dengan ‘pendekatan Islam’ baharu perkahwinan dalam talian dengan kadi negara Thailand dan juga penceraian melalui WhatsApp yang diberitakan dimanfaatkan oleh beberapa orang kuat Pas juga. Mungkin ini pembaharuan dibawa oleh ulama Pas setelah menjadi kerajaan.

Apabila Pas menguasai kementerian menjaga hal ehwal agama, dengan senyap-senyap amanat kafir mengkafir oleh Presiden Pas, Haji Hadi Awang yang telah difatwakan sesat oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Raja-Raja, dipadamkan dari portal rasmi JAKIM.

Sehingga hari ini, Menteri Agama dan timbalannya tidak menjawab kenapa ini berlaku.

Itulah antara kemajuan penyalahgunaan kuasa dicapai oleh ulama Pas dalam kerajaan untuk kepentingan diri sendiri.

Kami ingin menyarankan Mokhtar Senik dan Pas lebih prihatin terhadap nasib rakyat Melayu Islam di Terengganu, Kelantan dan Pahang yang merupakan tiga negeri tertinggi masalah dadah dan narkotik di Malaysia.

Di sini terdapat pengundi deposit tetap tertinggi kerajaan Melayu Islam Pas-PN dan tidakkah nasib mereka mahu dibela?

Atau adakah Pas bersikap asalkan undi diperoleh, isu ini tidak penting dan biarlah mereka bergelumang dalam dadah?

YADIM patut menambah usaha dakwah di kawasan kawasan FELDA di ketiga-tiga negeri ini di mana masalah dadah amat tinggi.

Masalah kemiskinan tinggi dan mat rempit juga adalah masalah ekonomi serta sosial besar di negeri-negeri dikuasai Pas dan perlu diberi perhatian.

Saranan saya janganlah hanya menyalahkan kerajaan Putrajaya kerana di peringkat negeri negeri ini, Pas berupaya bertindak.

Tambahan pula, Pas kini pun berada di dalam kerajaan, di mana isu ini boleh dibawa dalam mesyuarat Kabinet.

Pas bercakap seolah-olah sebagai pembangkang. Adakah ini tandanya Pas tidak tahu untuk mentadbir negara? Seolah-olah kuasa dimiliki senantiasa tidak cukup atau mereka tidak tahu mengunakan kuasa dengan baik.

Apabila rakyat menderita pandemik Covid-19, Pas memarahi rakyat mengibar bendera putih meminta bantuan dan menyarankan memadai berdoa sahaja tanpa usaha lain.

Tiada pihak lain yang boleh disalahkan lagi sekarang oleh Pas. Pas hari ini sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan dan patut berusaha membela rakyat dengan mengubah negara ke arah yang lebih baik.

Yang terbaru Ketua Penerangan Dewan Muslimat Pas, Dr. Najihatulssalehah Ahmad menyatakan :

“BUKAN KERAJAAN, SEBALIKNYA RAKYATLAH YANG GAGAL BANTU KERAJAAN.”

Rakyat yang dikurung tanpa boleh berkerja hampir setahun tetapi rakyat juga dipersalahkan, sungguh aneh.

Ini mengesahkan Pas tidak fahan serta tahu bertanggungjawab bagaimana boleh mengurus dan memimpin negara yang dilanda pandemik yang dasyat ini.

#KerajaanGagal #kitajagakita #NegaraGagal

*SENATOR DATUK RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH merupakan Pengerusi AMANAH Negeri Terengganu.