Malaysia Dateline

Anfaal Saari dapat undi tertinggi pemilihan AWAN Nasional

Anak kepada Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib memperoleh undian tertinggi pada pemilihan Jawatankuasa Wanita Parti Amanah Negara (AWAN) Nasional hari ini.

Anfaal Saari yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua AWAN Nasional mendapat 279 undi daripada jumlah keseluruhan 294 pengundi yang hadir.

Pengarang buku Bahagia Bukan Gembira (2016) tersebut mendahului senarai 27 calon lain dalam pemilihan yang menggunakan sistem e-undi itu.

Anfaal yang juga Ahli Majlis Perbandaran Selayang, Selangor itu adalah antara 71 nama yang layak bertanding pada Konvensyen AWAN Nasional kali ini.

Sistem e-undi membolehkan keputusan diketahui hanya dalam tempoh 10 minit selepas undian ditutup.