Wanita perlu bezakan keinginan dan kehendak, kerana keinginan berlandaskan nafsu semata bukanlah termasuk dalam nafkah yang perlu diberi suami kepada isterinya.
Nafkah adalah perbelanjaan wajib khususnya buat penganut agama Islam yang merangkumi keperluan makanan, pakaian dan tempat tinggal.
Pengeluaran nafkah atau wang sara hidup ini sering dikaitkan dengan peranan lelaki di dalam rumah tangga di mana mereka wajib membayarnya kepada isteri, anak-anak serta tanggungannya.
Allah SWT juga berfirman yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka.
“Maka perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya) dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolongan-Nya,” (Ayat An Nisa ; 34).
Namun selari dengan peredaran zaman, skop nafkah dilihat secara lebih meluas khususnya apabila ada wanita atau isteri yang berpendapat minyak wangi, set penjagaan muka dan alatan solek ratusan ringgit juga termaktub di dalam nafkah.
Hal ini disangkal oleh seorang pengguna sosial media Twitter yang berpendapat isteri perlu lebih ‘celik’ dalam bab ini dan tidak berkiblatkan nafsu semata.
“Kepada para wanita, baca apa yang dimaksudkan dengan nafkah. Sekarang ini perasan juga, ada yang melampau mendefinisikan nafkah,” ciap Azzura Jafri.
“Celikkan diri dengan ilmu agar jadi wanita yang menyenangkan. Apatah lagi jika suami kita bertanggungjawab. Nafkah ikut kemampuan suami bukan kehendak isteri,” tambahnya.
Pengguna bernama Syazani Satri turut berkata apabila suami telah menunaikan nafkah dan mengasihi serta melayani dengan baik, isteri perlu menjadi wanita yang taat dan tidak terpengaruh dengan budaya ‘feminisme’.
“Apabila ini dipenuhi (nafkah), menjadi kewajipan isteri mentaati suami sepenuhnya dengan ketaatan yang tiada kompromi.
“Feminisme menjadikan isteri tamak nafkah namun derhaka,” kongsinya.
Feminis atau ‘feminisme’ bermaksud sebuah perjuangan atau kesedaran untuk memperjuangkan isu wanita, khususnya dalam kesaksamaan hak di antara lelaki dan perempuan.
Kebiasaannya dalam mana-mana perjuangan atau manifesto sesebuah gerakan feminis, akan disebut keperluan menentang apa yang dirujuk sebagai ‘patriarchy’.
Baca juga: Jemput penunggang agama jadi penceramah, KPMSI terima kecaman