Malaysia Dateline

Anggap kes menurun sebab lockdown, Wan Saiful diselar hidup dalam delusi

Pejuang Muda Malaysia menyelar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seperti hidup di dalam delusi dan penafian, lebih-lebih lagi Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Naib Ketua Pejuang Muda, Nik Fathurahman berkata, ini selepas kenyataan Saiful bahawa keputusan kerajaan untuk melaksanakan sekatan pergerakan penuh adalah tepat dan mula menunjukkan hasil yang diinginkan apabila kadar kes positif Covid-19 semakin menurun.

Beliau menasihatkan Wan Saiful supaya tidak membangga diri, dan mengamalkan sikap mengampu ‘yes boss’ yang tidak akan membawa kebaikan kepada negara, jauh sekali menyelamatkan nyawa rakyat.

“Pakar telah lama menyimpulkan bahawa penurunan kes adalah kerana penurunan jumlah saringan. Banyak saringan, banyak kesnya, begitulah sebaliknya.

“Ia juga konsisten dengan data dikeluarkan sendiri oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Menteri KKM (Datuk) Dr Adham Baba, turut mengakui nilai kes positif lebih tinggi dari standard WHO maka lebih banyak saringan perlu diadakan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline hari ini.

Terdahulu, Wan Saiful berkata kejayaan kerajaan menurunkan lekuk pandemik ketika ini mampu menafikan segala tuduhan yang dilemparkan seolah-olah kerajaan tidak mempunyai rancangan yang terperinci.

Realitinya beliau berkata, negara sudah mula melihat hasil positif daripada tindakan kerajaan.

“Walaupun ada pihak yang tak habis-habis merungut untuk meraih kepentingan politik peribadi, data menunjukkan bahawa kita berada di jalan yang betul dan kita boleh berjaya jika kita terus mematuhi segala nasihat yang dikeluarkan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan

Sementara itu Fathurahman berkata, adalah lebih baik jika Wan Saiful memberi nasihat yang berguna kepada kerajaan berbanding menyelar pembangkang yang sebenarnya memberi cadangan serta kritikan berdasarkan sains.

Pada masa sama, beliau mencadangkan agar kerajaan beralih kepada indikator masa-nyata (real-time) menggunakan ‘Big Data’ serta ‘Machine Learning’.

Ini katanya dapat membantu kerajaan mengambil tindakan lebih baik, dan jika tidak, kerajaan berisiko mengulangi kitaran PKP tidak berkesudahan selagi jumlah pengambilan vaksin tidak mencapai 70 hingga 80 peratus dari populasi.

Beliau juga mengingatkan bahawa nilai R-naught (R0) yang dilaporkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, bukanlah satu-satunya ukuran bagi menilai jika sesuatu polisi itu berkesan.