Malaysia Dateline

Anggap mainan politik, Pejuang enggan sertai PRN Melaka

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan parti itu tidak akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal berlangsung pada 20 November depan.

Menurutnya, Pejuang berpendapat PRN itu hanya mainan politik pihak tertentu, selain keadaan semasa negara yang masih berdepan penularan Covid-19 bukan masa terbaik untuk pilihan raya diadakan.

Dalam sidang media di ibu negara, hari ini, Mahathir berkata, pengalaman PRN Sabah pada tahun lalu menyaksikan kes Covid-19 melambung hingga kira-kira 25,000.

“Sekarang baru turun sikit tetapi kalau kita mengadakan pilihan raya ini, dikhuatiri akan ada sekali lagi pandemik besar berpunca daripada pilihan raya di Melaka.

“Jadi, pilihan raya ini tidak patut diadakan sama sekali dan kejatuhan kerajaan di Melaka juga tidak patut diusahakan,” katanya.

Untuk rekod, Malaysia menunjukkan trend penurunan kes Covid-19 dengan purata kes aktif menunjukkan penurunan sebanyak 21.0 peratus iaitu daripada 105,497 kes (minggu ke-41) kepada kes 83,605 kes (minggu ke-42).

Mengulas lanjut, Mahathir berkata, tindakan menarik diri atau melompat parti dalam kalangan Ahli DUN (ADUN) membabitkan soal moral walaupun tidak menjadi kesalahan kerana tiada undang-undang yang boleh menghalang aktiviti seperti itu.

Bekas Perdana Menteri dua kali itu berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan untuk menangani masalah dalam negeri sebaliknya tindakan lompat parti seolah-olah menganggap DUN sebagai hak mereka untuk membuat apa saja yang mereka suka.

“Mereka harus ingat, mereka (ADUN) dipilih oleh rakyat. Sebab itu, mereka patut akur kepada segala janji mereka kepada rakyat.

“Sebaliknya, mereka bukan fikir mengenai pilihan oleh rakyat, mereka lebih mengutamakan kepentingan diri mereka,” katanya.

Dalam masa sama, Mahathir yang juga bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan negara akan hancur jika terdapat pihak yang dengan sewenang-wenang menjatuhkan dan kemudian mendirikan kerajaan.

“Oleh itu, Pejuang tidak ingin terbabit dengan gejala seperti ini. Kita tidak akan mengambil bahagian dan kita percaya siapa juga yang dipilih untuk mendirikan kerajaan, keadaannya sama tidak ada perubahan,” tambahnya lagi.

PRN Melaka diadakan susulan tindakan empat ADUN Melaka menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada 4 Oktober lalu sekali gus menumbangkan kerajaan negeri yang diterajui Umno.

Mereka ialah bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor); Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu).

Sebelum ini, Kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) diwakili 17 ADUN yang terdiri daripada 14 ADUN Umno, dua (Bersatu) dan satu Bebas manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua (PKR) dan dua (AMANAH).