Malaysia Dateline

Anggap masyarakat lebih kejar duniawi, bekas pelakon hentikan persekolahan anak-anak

Biarpun mendapat kritikan orang ramai, bekas pelakon Zul Yahya tetap memilih meletakkan ilmu akhirat sebagai keutamaan hidup dengan memberhentikan anak-anaknya daripada meneruskan persekolahan.

Dia memberitahu keputusannya itu dirasakan paling tepat buat masa ini kerana mahu anak-anaknya berjaya di akhirat.

Untuk rekod, Zul Yahya, 48, mempunyai enam anak masing-masing tiga perempuan dan tiga lelaki berusia antara setahun hingga sembilan tahun.

“Kami ibu bapa berhentikan anak-anak kami daripada sekolah bukan kerana tak ambil berat masa depan mereka, tetapi kami nak anak-anak kami lebih berjaya di akhirat kelak.

“Insya-Allah ilmu akhirat itu lebih penting daripada segala-gala ilmu,” katanya dalam hantaran yang dimuat naik dalam Instagram dan Facebooknya.

Dia menganggap masyarakat hari ini lebih mengejar duniawi berbanding ilmu agama yang dituntut oleh Nabi Muhammad SAW.

“Buat masa sekarang lebih baik saya letakkan ilmu akhirat sebagai keutamaan buat anak-anak.

“Berapa ramai yang boleh ikut sunnah Nabi Muhammad SAW pada hari ini? Ramai orang tinggalkan al-Quran dan sunnah Rasulullah yang boleh membawa kejayaan kepada mereka,” lapor Kosmo! semalam.

Tambahnya, masyarakat seolah-olah merasakan sunnah dan al-Quran sebagai satu ikutan kuno dan ketinggalan.

“Jadi, ramai yang memilih cara kehidupan seperti hari ini dengan tidak mengamalkan sunnah Nabi dengan melebihkan kehidupan duniawi,” dakwanya.

Walau bagaimanapun, rata-rata warga maya tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh pelakon yang dikenali dengan pelbagai watak lucu itu.

Mereka menganggap Zul Yahya wajar faham tentang konsep pendidikan pada peringkat sekolah kerana itu juga merangkumi ilmu untuk kegunaan di akhirat.

“Harapnya kita tidak salah faham dan ekstrem. Hantar ke sekolah (anak) juga merangkumi ilmu akhirat. Semua disiplin ilmu ialah ilmu milik Allah SWT dan boleh mendekatkan diri dengan-Nya.

“Tahniah guru-guru di sekolah yang mengajar bersungguh-sungguh anak murid mengenal Allah SWT,” kata salah seorang pengguna Instagram.