Anggap perkahwinan sebagai satu pinjaman, Fasha Sandha tak leka dalam kerjaya, suami tetap keutamaan

Oleh MAISARAH AISYA

Meskipun banyak kes penceraian berlaku, baik orang biasa ataupun selebriti, masih ada yang cuba menguatkan rumah tangga.

Biasalah, adik beradik pun bergaduh apatah lagi suami isteri, tak semua setuju akan perkara sama dan salah faham juga boleh timbul.

Buat pelakon Fasha Sandha, dia menganggap sekufu bukanlah satu keutamaan atu penentu bahagia satu perkahwinan.

Menurut Harian Metro, bagi Fasha apa yang penting isteri tetap menghormati suami meskipun lebih berjaya dan kaya.

“Ini berdasarkan kepada pendapat peribadi saya sendiri, sekufu atau tidak itu sebenarnya jatuh nombor dua.

“Ini kerana, apabila kita menjadi isteri kita adalah di bawah suami walaupun kita lebih kaya, berharta dan berjaya.

“Suami tetap perlu berada di atas. Saya akan pastikan Aidil adalah suami saya dan saya perlu menghormatinya.

“Tidak dinafikan dalam perkahwinan ini kadang-kadang kita tidak sependapat,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Jelasnya dia dan Aidil masing-masing ada pendapat sendiri maka mereka akan cari jalan penyelesaian demi anak-anak.

Dalam pada itu, Fasha menganggap perkahwinan hanya satu pinjaman dan akan cuba sebaiknya untuk menjadi isteri terbaik buat Aidil.

“Saya sentiasa menganggap perkahwinan ini adalah satu pinjaman yang saya tidak tahu sampai bila? Tapi dalam waktu sama, saya nak pinjaman diberikan ini berkekalan hingga akhir hayat.

“Kalau pinjaman ini hanya sementara tiada yang mampu saya lakukan kerana semua itu sudah ditakdirkan. Namun apa yang penting kita sebagai suami dan isteri perlu buat yang terbaik.

“Orang luar juga tidak boleh cepat menghakimi sesuatu perhubungan itu. Saya rasa tak wajar untuk kita memandai-mandai nak beri pendapat atau berkata tidak baik mengenai orang lain,” katanya.

Baca juga: Tak kisah dipanggil ‘duda hot’, Hisyam Hamid nak fokus dengan anak dan ibu sahaja