Anggaran 310,000 gay belum muktamad oleh KKM, kata Jakim

Anggaran 310,000 gay belum muktamad oleh KKM, kata Jakim

Mohd Izwan Mohd Yusuf

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini berkata, anggaran populasi gay di negara ini seramai 310,000, yang dilaporkan media adalah angka belum muktamad oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, sebagaimana yang dipetik.

Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti Jakim Dr Mohd Izwan Md Yusof berkata, seseorang yang dilabel gay, tidak semestinya telah melakukan hubungan sesama jenis samada homoseksual atau liwat.

“Golongan ini baru dianggap memiliki same sex attraction iaitu ketertarikan sesama jenis.

“Jakim komited untuk terus melakukan usaha penerangan dan bimbingan melalui seminar dan program Mukhayyam dalam memberikan intervensi kerohanian kepada komuniti LGBT yang ingin mendapatkan bimbingan.

“Pada waktu yang sama, Jakim menyeru kepada masyarakat agar sama sama mengukuhkan institusi kekeluargaan dan memantau perilaku anak-anak agar diberikan didikan dan penghayatan agama sebaik mungkin,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Semalam media melaporkan jumlah golongan Gay di negara ini dianggarkan 310,000 orang.

Dr Mohd Izwan Md Yusof ketika berucap pada Seminar Peradaban dan Kecelaruan Gaya Hidup Kontemporari semalam, dipetik berkata, golongan gay direkodkan meningkat hampir 100 peratus, iaitu seramai 310,000 individu pada tahun ini, berbanding 173,000 lima tahun lalu.

Manakala, golongan transgender pula merekodkan peningkatan kepada 30,000 individu pada tahun ini, berbanding seramai 10,000 pada 1988.

Gay menurut definisi oleh Blanch Consulting, adalah seorang lelaki yang memiliki ketertarikan sesama jenis dari sudut seksual, romantik dan fizikal.

Beliau juga dipetik berkata Jakim berjaya membawa 1,450 anggota masyarakat LGBT ‘pulang ke jalan benar’ melalui program ‘mukhayyam’, selain akan terus membantu golongan terbabit.