Malaysia Dateline

Anggota AMANAH disaran pilih platform sesuai dalam berpolitik

Semua anggota Parti Amanah Negara (Amanah) disaran supaya sentiasa memilih platform yang sesuai dalam berpolitik dengan tidak menyalahgunakan institusi pendidikan serta agama bagi tujuan itu.

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad berkata anggota parti tidak sepatutnya menggunakan sekolah, masjid serta surau untuk berpolitik sekiranya mahu mencapai matlamat perpaduan, kesatuan dan kerjasama dalam membina negara.

“Kalau nak berpolitik, carilah tempat yang sesuai. Kita tak mahu sekolah, surau atau masjid dijadikan platform. Contohnya, kalau nak edar borang (keanggotaan) parti, banyak lagi tempat lain yang boleh berbuat demikian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 19,pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tularnya di media sosial mengenai tindakan anggota Amanah di Perak yang didakwa mengedar borang keanggotaan parti di sebuah sekolah di negeri berkenaan baru-baru ini.

Khalid bagaimanapun tidak dapat memastikan kesahihan dakwaan yang tular itu namun tetap mengingatkan anggota Amanah supaya sentiasa menggunakan landasan yang betul jika mahu aktif berpolitik demi menjaga nama baik parti.

Terdahulu, Khalid yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dalam ucapan perasmiannya pada majlis itu menyatakan kerajaan amat mengalu-alukan sumbangan kewangan, kemahiran, kepakaran dan pelbagai bentuk sokongan daripada sektor korporat bagi membantu masyarakat termasuk institusi pendidikan dan bukan pendidikan.

Kata Anggota Parlimen Shah Alam itu lagi, ini kerana masih terdapat masyarakat serta institusi pendidikan yang berdepan keterbatasan serta ketidakupayaan kewangan sehingga menyukarkan golongan tersebut melaksanakan sesuatu program dan aktiviti.

“Saya mengharapkan lebih banyak kerjasama yang erat antara sektor korporat dengan kerajaan dapat dijalin sehingga menjadi satu budaya demi membangunkan dan memajukan negara,” katanya.

Warga SMK Seksyen 19 kini mampu tersenyum apabila mempunyai padang sukan yang lebih sempurna setelah menunggu lebih 20 tahun ekoran lokasi padang itu sebelum ini sering ditenggelami air dan berlopak sehingga menyukarkan sebarang aktiviti dijalankan di situ.

Padang sekolah berkenaan dinaik taraf sejak Mac lepas oleh sebuah syarikat pembinaan, Ekovest Berhad (Ekovest) dengan kos RM225,000 yang dilaksanakan di bawah tanggungjawab sosial korporat entiti itu.

Menurut Pengarah Urusan Ekovest, Tan Sri Lim Keng Cheng, beliau memilih untuk menaik taraf padang sekolah berkenaan berikutan institusi itu mempunyai program sukan yang baik sehingga mencapai beberapa kejayaan dalam pelbagai peringkat.

Beliau berharap dengan adanya padang sekolah yang lebih sempurna, warga SMK Seksyen 19 akan lebih mampu merekodkan pelbagai lagi kejayaan dalam bidang akademik dan kokurikulum selain melahirkan generasi yang aktif bersukan.- BERNAMA