Anggota bomba diserang perusuh kritikal

Anggota bomba diserang perusuh kritikal
MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bersama Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Mohammad Hamdan Wahid pada sidang media di SJMC, hari ini.-Foto BeritaHarian.

Anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya yang diserang perusuh di Kuil Maha Mariamman, USJ25 jam 1 pagi tadi, berada di dalam keadaan kritikal.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata mangsa, Muhammad Adib Mohd Kassim, sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Subang Jaya di bawah pengawasan lima orang doktor pakar.

“Setakat ini, Adib bergantung kepada sistem sokongan hayat, keadaannya masih pada tahap kritikal, hampir keseluruhan badannya terutama bahagian dadanya dipenuhi lebam.

“Sejak dikejarkan ke hospital oleh orang awam, keadaannya masih sama sehingga semasa saya menziarahinya tadi, bacaan tekanan darahnya pula kekal berada dalam paras rendah.

“Dia mengalami kesukaran bernafas akibat tulang rusuknya yang patah menjejaskan fungsi paru-parunya,” katanya dalam sidang media di SJMC, hari ini lapor Bhonline.

Turut hadir dalam sidang media, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Mohammad Hamdan Wahid.

Zuraida berkata, pihaknya akan menawarkan sokongan kepada mangsa dan keluarganya dari Kedah yang turut sudah berada di hospital.

“Saya cukup kesal dan dukacita dengan kejadian ini, saya bertemu dan menenangkan ahli keluarga, mereka sangat sedih dan trauma, kita sama-sama doakan yang baik-baik untuk mereka.

Loading...

“Ini adalah hari yang sedih untuk kita, anggota bomba ini menawarkan perkhidmatan mereka untuk apa saja kecemasan, kenapa buat begini kepada anggota bomba.

“Saya minta dan berharap jangan berulang lagi episod gelap, jadilah orang yang lebih bertamadun dan jangan ulanginya,” katanya.