Anggota bomba lemas di Sungai Putat Melaka meninggal dunia

Oleh NASUHA RAHMAN

Anggota bomba Mohd Diya Che Jusoh yang terlibat dalam kejadian lemas di Sungai Putat, Melaka telah meninggal dunia pada jam 3.11 pagi di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Melaka.

Perkara itu dimaklumkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Melaka dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada jam 3.45 pagi tadi.

Petang semalam ketika hujan lebat hampir dua jam beliau dikatakan lemas ketika cuba menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Sungai Putat.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah berkenaan diselamatkan oleh rakan sepasukannya dan dibawa ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan lanjut bagaimanapun kondisi beliau ketika ini belum sedarkan diri.

Difahamkan, anggota itu tersangkut dalam aliran deras air banjir, sebelum kira-kira lapan anggota bomba bersama 10 penduduk kampung lain menyelamatkannya.

Salah seorang saksi kejadian, Md. Yusof Hitam, 68, berkata, keadaan mula kecoh selepas penghuni rumah yang cuba diselamatkan oleh mangsa menjerit meminta tolong.

“Orang dalam rumah tu menjerit, mungkin selepas dia terkejut melihat anggota bomba berkenaan lemas dalam arus deras banjir.

“Kira-kira 20 orang turun cuba selamatkan mangsa termasuk anggota bomba lain seramai tujuh hingga lapan orang,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Putat di sini hari ini.