Anggota bomba terkorban itu insan terpilih, kata Mufti Wilayah

Oleh ARIF ATAN

Mufti Wilayah Persekutuan menyifatkan enam anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang meninggal dunia semasa menjalankan tugas semalam sebagai insan terpilih.

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad berkata, mereka terbabit layak digelar sebagai syuhada dan lebih mulia berbanding lima golongan yang dianggap syahid oleh Islam melalui hadis Rasulullah SAW.

Menurutnya, kesemua anggota penyelamat itu bukan sekadar meninggal dunia kerana lemas, malah terbunuh semasa menolong orang lain.

“Mereka adalah insan-insan terpilih dan mempunyai hati yang suci serta amat memahami tanggungjawab dan tugas yang diamanahkan, terutamanya dalam kecemasan hingga kepada nafas yang terakhir dan denyut nadi yang terakhir.

“Inilah syuhada kita. Semoga Allah menempatkan mereka bersama para nabi, al-siddiqin dan syuhada,” ujarnya di Facebook.

Beliau berkata, kejadian itu boleh dianggap luar biasa kerana melihatkan semangat ditunjukkan anggota terbabit.

Sehubungan itu, Dr Zulkifli menyarankan agar semua mangsa diberi kenaikan pangkat dan anugerah kecemerlangan agar ia dapat memberikan sedikit kelegaan kepada keluarga masing-masing.

“Sesungguhnya, inilah kakitangan kerajaan dan pekerja di era Malaysia baru yang sanggup berkorban apa sahaja,” katanya.

Dalam hal berkaitan, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menganggap anggota yang terbunuh itu sebagai wira yang tidak ternilai jasanya.

Pada masa sama beliau menggesa kerajaan memberi penjelasan agar tragedi seumpama itu tidak berulang.

“Tidak munasabah untuk mencari satu jenazah membawa (kesan) kepada korban enam nyawa yang masih muda dan amat berharga,” kata Dr Asri lagi.