Anggota MPKK yang dilantik perlu main peranan aktif, gesa Adly

Anggota MPKK yang dilantik perlu main peranan aktif, gesa Adly

Anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) perlu memahami objektif penubuhan dan jelas akan hala tujunya agar dapat melaksanakan peranan serta tugas mengikut dasar ditetapkan.

Ketua Menteri Adly Zahari berkata sebagai perancang dan pelaksana projek kampung, MPKK juga perlu memastikan penglibatan komuniti dalam semua program di bawah anjurannya selain terus menjadi pengantara di peringkat akar umbi dalam menyalurkan aduan atau masalah rakyat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kerajaan Melaka di bawah Pakatan Harapan sentiasa terbuka untuk penambahbaikan dengan mengutamakan peningkatan kepintaran, kehijauan dan kebersihan serta peduli rakyat bagi mengembalikan kewibawaan Melaka seperti yang pernah kita kecapi satu ketika dahulu.

“Saya mengharapkan pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi khasnya (anggota) MPKK dilantik memainkan peranan, membantu dan meneruskan rancangan pembangunan kerajaan,” katanya ketika berucap pada Program Karnival Perdana Sejahterakan Bandarayaku Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil di sini, hari ini.

Beliau berkata PBT juga perlu mendengar suara dan permintaan rakyat terhadap kualiti dan jenis perkhidmatan ditawarkan menerusi segala bentuk aduan dan syor yang dikemukakan rakyat.

Katanya aduan dan syor berkenaan harus dijadikan input oleh PBT untuk merangka dasar dan program selain terus bekerjasama dengan semua Jawatankuasa Penyelaras DUN dan MPKK bagi meningkatkan perkhidmatan sedia ada kepada masyarakat.

Dalam pada itu, Adly berkata pengiktirafan Dondang Sayang sebagai ‘The Intangible Cultural Heritage of Humanity’ oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) baru-baru ini, merupakan satu kebanggaan untuk rakyat dan negeri Melaka.

“Pengiktirafan ini jelas menunjukkan Dondang Sayang sebenarnya satu seni dan warisan yang cukup berharga dan besar nilainya serta membuktikan ia milik orang Melaka,” katanya.

Justeru, beliau berkata kerajaan negeri akan melihat pelbagai aspek untuk terus memartabatkan seni berkenaan di peringkat negeri, negara dan dunia pada masa hadapan.

Sementara itu, katanya kenaikan harga tiket Melaka River Cruise berkuat kuasa semalam sudah mengambil kira pelbagai aspek khususnya kenaikan kos operasi yang perlu ditanggung Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka.

Beliau berkata kenaikan harga tiket berkenaan juga selaras dengan penambahbaikan yang akan dilakukan termasuk pembelian bot baharu dan pencahayaan sepanjang Sungai Melaka untuk memberi pengalaman terbaik kepada pengunjung.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Azlan Abidin dilaporkan sebagai berkata harga tiket Melaka River Cruise dinaikkan lebih 50 peratus bagi semua kategori pengunjung untuk menampung kos pengoperasian produk pelancongan.

— BERNAMA