Malaysia Dateline

Anggota parlimen New Delhi didakwa cabul kehormatan wartawan wanita

Satu kes polis telah dikemukakan terhadap anggota parlimen New Delhi yang juga bekas menteri undang-undang, Somnath Bharti, kerana didakwa mencabul kehormatan seorang wartawan merangkap peneraju TV wanita dalam satu rancangan yang bersiaran secara langsung, lapor agensi berita China Xinhua.

Anggota parlimen itu adalah daripada parti pemerintah di New Delhi, Aam Aadmi.

Beliau telah didakwa mencabul kehormatan seorang wanita seperti peruntukan di bawah Kanun Keseksaan India.

Kes itu telah difailkan terhadap beliau di sebuah balai polis di bandar Noida yang terletak di utara negeri Uttar Pradesh berhampiran New Delhi.

Menurut aduan kepada polis yang difailkan oleh wanita terbabit, semasa satu perdebatan televisyen, anggota parlimen itu telah mencabul kehormatan mangsa dan menyuruhnya menjadi seorang “pelacur.”

Dalam video yang menunjukkan perdebatan sengit antara peneraju TV itu dan Bharti, yang tular di media sosial, dengan kedua-duanya saling menuding jari berkaitan perlakuan buruk masing-masing.

Wartawan wanita itu dilihat mengingatkan anggota parlimen terbabit mengenai reputasi beliau yang suka mencabul kehormatan wanita dan telah melayan isterinya dengan buruk di rumah.

Perdebatan itu adalah berkaitan insiden baru-baru ini yang menyaksikan seorang lelaki tidak dikenali cuba menyerang Ketua Menteri New Delhi, Arvind Kejriwal, dengan serbuk cili merah di dalam pejabatnya.

Berikutan kes polis itu, Partu Bharatiya Janata (BJP) telah mengkritik tingkah laku anggota parlimen tersebut.

Pemimpin BJP New Delhi, Manoj Tiwari, berkata anggota parlimen parti pemerintah itu telah mengungkapkan “perkataan yang tidak bertamadun serta tidak menyenangkan” kepada peneraju TV wanita itu dan menggesa Kejriwal mengambil tindakan terhadapnya.

— BERNAMA