Malaysia Dateline

Anggota PBRS diingat tidak bangkitkan isu kaum dalam berpolitik

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup mengingatkan anggota parti itu yang berhasrat bertanding pada pilihan raya umum akan datang supaya bersikap realistik dan tidak menyentuh isu perkauman demi mendapatkan kuasa politik.

Sambil menegaskan bahawa perkauman adalah isu yang sensitif, Kurup yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata adalah tidak munasabah bagi mana-mana individu membangkitkan tentang isu perkauman bagi tujuan survival politik peribadi.

Saya minta agar orang yang ingin menjadi calon dalam pilihan raya akan datang, janganlah guna isu (perkauman) yang cukup sempit ini kerana ini hanya mendatangkan perkara yang tidak diingini, katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan rumah kepada 15 keluarga di Kampung Ansip dekat sini, semalam.

Kurup yang juga Anggota Parlimen Pensiangan berkata perpaduan sedia ada dalam kalangan penduduk akan tercalar jika ada pihak yang cuba membabitkan isu perkauman untuk kepentingan peribadi.

Kita perlu memahami bahawa budaya kita yang berbagai-bagai ini tidak jauh bezanya. Jadi, berasaskan itu, kita gunakan (kepelbagaian budaya) untuk menyatupadukan rakyat. Tidak ada sebab kenapa kita harus menggunakan perkauman untuk kepentingan politik, katanya.

Dalam pada itu, Kurup meminta rakyat di Sabah supaya bersama-sama menolak pihak atau individu yang mempunyai agenda tersendiri dengan mempengaruhi rakyat ke jalan yang boleh memusnahkan perpaduan.

Kita harus yakin dan percaya, sebagaimana yang sering dinyatakan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) bahawa beliau perdana menteri bagi semua kaum…dan di Sabah tidak sepatutnya timbul persoalan siapa dan apa bangsanya yang akan mewakili kita dalam sesuatu kawasan, katanya.

Mengenai majlis itu, Kurup berkata rumah berkenaan dibina dengan peruntukan Parlimen Pensiangan bagi membantu keluarga berkenaan yang hilang rumah masing-masing dalam kebakaran pada 30 Okt 2016.

Kejadian itu turut mengorbankan seorang lelaki berusia 50-an.