Koperal A Francis yang parah selepas tertembak di kepalanya sendiri Selasa lalu meninggal dunia selepas dua hari menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.
Kejadian malang ini berlaku di pos pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini pada dua hari yag lalu.
Mangsa yang berumur 58 tahun itu dilapor menghembus nafas terakhir jam 5.12 petang tadi di Unit Rawatan Rapi Umum (GICU) HPP.
Media sebelum ini melaporkan mengenai Koperal yang bertugas di cawangan Kem Komandan itu, ditemukan cedera di bahagian kepala di bilik pengawal pada jam 6.12 petang.
Anggota berkenaan mengalami cedera parah di kepala akibat tertembak diri sendiri dengan sepucuk senjata jenis pistol dan kes disiasat mengikut Seksyen 39, Akta Senjata 1960.
Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Ahmad mengucapkan salam takziah buat ahli keluarga anggota berkenaan.
“Saya, isteri serta seluruh warga kerja PDRM Pulau Pinang mengucapkan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang.
“Semoga mereka tabah menghadapi segala ujian dan ketentuan ini serta dipermudah segala urusan,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi PDRM Pulau Pinang sebentar tadi.