Anggota PH bantu pastikan AMANAH tawan Parlimen Kepala Batas

Program peduli rakyat diteruskan bersama AMANAH dengan komponen PH di Kepala Batas kelmarin.

Mohd Taufek Abd Rahman

Pakatan Harapan (PH) Parlimen Kepala Batas mampu untuk membuat kejutan yang tidak pernah dijangka oleh BN di Kepala Batas dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang akan datang.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Pengerusi AMANAH Pulau Pinang, Mohd Taufek Abd Rahman.

Menurut beliau lagi, tidak dapat dinafikan Kepala Batas merupakan ‘stronghold’ yang agak sukar ditembusi parti-parti lain sebelum ini.

“Faktor Pak Lah yang merupakan anak dan cucu kepada agamawan terkenal pada suatu ketika dahulu adalah antara penyumbang kepada kemenangan BN di masa lalu.

“Namun begitu perkembangan semasa selepas Pak Lah tidak lagi menerajui kepimpinan Kepala Batas terbukti suasana politik kini semakin berubah dan menyebabkan rakyat sengsara.

“Apa jua boleh berlaku kini kerana desakan hidup yang amat melampau dan membebankan rakyat turut terasa di Kepala Batas hasil kelemahan kepimpinan Najib, Umno dan BN yang menerajui kerajaan,” jelasnya.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Biro Kebajikan, Kemanusiaan, Bencana Alam dan Kesihatan AMANAH Pulau Pinang turut berkata, pada ketika ini rakyat maupun pengundi tidak lagi dapat dimomokkan begitu mudah oleh Umno-BN.

Parti Bersatu turut bersama turun padang dengan komponen PH di Permatang Bertam, Kepala Batas menyantuni penduduk kelmarin.

Tegasnya lagi, rakyat kini lebih bijak dalam menilai parti atau calon mana yang hendak mereka pilih untuk mewakili mereka.

“Rakyat juga telah cerdik dan mampu berfikir dengan rasional setelah mereka dapat mengakses pelbagai maklumat, fakta serta data membabitkan pelbagai isu semasa.

“Kelemahan, kepincangan dan penyelewengan yang begitu ketara termasuklah isu 1MDB yang umpama sandiwara Najib dan kerajaan amat mengecewakan.

“Usaha melindungi mereka yang terlibat dalam isu 1MDB termasuklah menyekat segala persoalan berkaitan isu tersebut seolah-olah memperbodohkan rakyat,” ujarnya lagi.

Sejajar dengan itu kata Taufeq, PH Kepala Batas melipatgandakan usaha turun bertemu dengan pengundi di lapangan sehingga ke ceruk dan pedalaman di kampung-kampung.

Mereka yang kurang berkemampuan dan tidak berupaya turut disantuni oleh PH Kepala Batas di Kampung Lembah Raja.

“Reaksi dan ‘feedback’ yang diperolehi amat positif menyokong PH.

“‘Mood’ rakyat ketika ini begitu dahagakan perubahan yang drastik akibat dihimpit dengan pelbagai permasalahan hidup yang amat membebankan.

“Kenaikan kos sara hidup amat mereka kesalkan kerana menyusahkan kehidupan keluarga setelah kerajaan gagal dan membiarkan harga barangan terus naik melambung,” tambahnya lagi.

Malah katanya, cukai GST yang menekan rakyat miskin menyebabkan mereka hilang sabar dan mahukan perubahan dengan segera.

Ujar Taufeq lagi, kemunculan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama PH menimbulkan satu ‘booster’ bagi calon AMANAH yang akan bertanding di Kepala Batas untuk melakukan kejutan kali ini.

Pimpinan AMANAH dan PH Kepala Batas mengedarkan risalah penerangan di Pasar Kepala Batas baru-baru ini.

“Peranan yang dimainkan oleh PKR dan juga DAP di Kepala Batas amat bertenaga bagi memenangkan calon AMANAH pada PRU14 kali ini.

“Kemelut berpanjangan, perebutan dan ribut dalaman Umno Kepala Batas kini mampu memberi impak yang lebih baik kepada PH.

“Kelemahan wakil rakyat BN termasuklah dalam kawasan Dun Bertam, Penaga dan Pinang Tunggal sejak mewakili kawasan ini pada 2013 yang lalu ternyata memberi kredit yang lebih besar kepada PH,” katanya lagi.

 

6.0
OVERALL SCORE
2 user votes x 9.0