Malaysia Dateline

Anggota PKR diajak berdiri teguh di belakang barisan kepimpinan baharu

Barisan naib presiden PKR hari ini mengajak seluruh anggota parti bersatu dan berdiri teguh di belakang barisan kepimpinan baharu yang akan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam ucapan penggulungan masing-masing pada Kongres Nasional PKR ke-13 di sini, mereka turut mengingatkan anggota parti agar tidak lupa pada asas penubuhan PKR iaitu untuk membawa reformasi kepada negara.

Rafizi Ramli dalam ucapannya mahu anggota parti menjadikan perbezaan pendapat sebagai satu kekuatan parti.

“Perbezaan pendapat sehingga merendahkan dan memberikan peluang (orang luar) serang parti harus dihentikan,” katanya.

Nada sama turut diutarakan seorang lagi naib presiden, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang mahu pihak berkenaan berhenti melaga-lagakan pemimpin atasan parti khususnya Anwar dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Anwar dan Azmin kenal sejak 30 tahun dahulu, saya nasihatkan siapa yang cuba melaga-lagakan mereka ini cermin diri dahulu,” katanya.

Shamsul Iskandar juga turut mengingatkan anggota PKR dan Pakatan Harapan (PH) agar tidak menjadi si kitul yang menderhaka kepada parti dengan melaga-lagakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Anwar.

“Jangan ada si kitul moden dalam PKR dan PH, sekarang Tun Mahathir (sebagai Perdana Menteri) Insya- Allah lepas ini Anwar Ibrahim,” katanya.

Datuk Seri Mohamed Azmin menerima ucapan tahniah daripada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail — fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Peralihan kuasa dari­pada Dr. Mahathir kepada Anwar dijangka dilaksanakan dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun selepas PH memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.

Sementara itu, dua lagi naib presiden Tian Chua dan Datuk John Ot Ghani menyentuh isu pertambahan anggota PKR yang merupakan parti komponen terbesar PH.

Tian Chua mencadangkan supaya hak mengundi bagi anggota baharu parti berkenaan hanya diberikan selepas setahun manakala kebenaran untuk bertanding pula selepas dua tahun menjadi anggota bagi membiasakan mereka dengan budaya pemilihan dalam parti.

“Kita rasa ia tidak lama… jika kita tunggu 20 tahun untuk dapat jawatan, bagi ahli baru dua tahun bukan tempoh yang lama. Sesiapa yang ada cita-cita hendak menjadi anggota majlis pula perlu jalani ujian, jika lulus akan dapat watikah daripada parti,” katanya.

Bagi John Ot pula beliau yakin anggota baharu adalah ikhlas dan akan mengikuti perjuangan parti berkenaan.

“Kita percaya dan yakin mereka yang masuk PKR akan memahami maksud reformasi (dilaungkan PKR), kita di peringkat cabang-cabang akan memastikan ahli-ahli ini mengikut perlembagaan parti,” kata.

Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan anggota PKR bertambah sebanyak 400,000 orang sejak PH memenangi PRU14 lepas.

Menyentuh isu lain, John Ot menegur tindakan anggota PKR yang menggelar UMNO sebagai ‘parti tahi’.

Katanya perbuatan itu memberikan gambaran tidak baik kepada PKR di mata masyarakat.

“Ada antara kita daripada UMNO. Kita percaya dan yakin ahli-ahli UMNO yang masuk PKR akan memahami maksud reformasi dan kita di peringkat cabang-cabang akan memastikan ahli-ahli ini mengikut perlembagaan parti,” katanya.

Semalam perwakilan Johor Yasharudin Kosni menggelar UMNO sebagai parti tahi susulan kenyataan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyifatkan anggota UMNO keluar parti sebagai ‘langau’.

— BERNAMA