Malaysia Dateline

Anggota polis berkomplot tawar diskaun saman, separuh dari wang dikongsi sesama mereka

Empat anggota polis dikenalpasti antara 11 individu yang berkomplot dalam satu sindiket dipercayai menawarkan pengurangan saman trafik secara tidak sah membabitkan transaksi lebih RM5 juta.

Selain anggota polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga berjaya menahan enam penjawat awam dan seorang orang awam yang didapati terlibat dalam sindiket ini.

Lapor Harian Metro, sindiket berkenaan dipercayai mencari individu yang ingin menyelesaikan saman trafik dengan membayar sejumlah wang lebih rendah daripada nilai saman.

Selepas menerima wang itu, sebahagian jumlah berkenaan akan dimasukkan ke hasil kerajaan manakala selebihnya akan dikongsi dengan beberapa suspek yang bertugas di Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kemudian, suspek akan mengeluarkan nama individu yang disaman daripada sistem PDRM.

Bayaran ini akan dikutip anggota sindiket, seterusnya menyerahkan kepada pegawai yang membuat pengurangan kompaun menerusi sistem.

Difahamkan, sebanyak 60 akaun bank daripada suspek berjumlah keseluruhan kira-kira RM184,000 dibekukan oleh SPRM.

Sumber akhbar itu berkata, sembilan daripada individu-individu itu sudah direman bagi membantu siasatan sementara dua lagi dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan diambil.

Perintah tahanan reman selama tiga hari bermula semalam sehingga 7 Oktober 2022 itu dikeluarkan Majistret, Irza Zulaikha Rohanuddin, selepas meluluskan permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Jelas beliau lagi pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk memanggil beberapa lagi saksi terdiri daripada pegawai dan anggota polis serta orang awam bagi membantu siasatan.

Baca juga: Ketika PM menghadap Agong, menteri ini dakwa majoriti Kabinet tak setuju PRU-15 tahun ini

Baca juga: Lompat parti masih boleh berlaku, kalau bukan ahli mungkin parti itu sendiri yang ‘lompat’