Malaysia Dateline

Angin perubahan bertiup di Muar, kata Syed Sadiq

Angin perubahan politik kini bertiup di Muar ekoran kepekaan penduduknya terhadap isu-isu nasional dan lokal.

Malah kunjungan kerap ketua Pemuda PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ke daerah itu mendapati penduduk amat kesal dengan sikap wakil rakyat mereka yang mahu terus bersekongkol dengan pemimpin kleptokrat.

“Memang benar saya kerap turun Muar. Ini kerana saya percaya Muar yang merupakan Bandar Diraja dan juga Mutiara Johor adalah kunci bagi Pakatan Harapan untuk menawan Putrajaya,” kata Syed Saddiq.

Beliau turut mengingatkan ahli parlimen Muar yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim tentang teguran penduduk daerah itu terhadap ahli Majlis Tertinggi Umno itu.

“Setiap kali saya turun ke Muar, saya ditanya kenapa pemimpin yang kami pilih masih bersekongkol dengan perasuah negara walhal pemimpin jiran di Pagoh berani bersuara menentang golongan kleptokrat,” katanya.

Malah tambah beliau, penduduk Muar juga bertanya mengapa pemimpin mereka tidak ambil kisah tentang kenaikan kos sara hidup yang semakin membebankan.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman“Penduduk Muar terus dengan soalan mereka mengapa mereka sukar mendapat peluang pekerjaan meskipun pada hari minggu kita melihat lambakan warga asing membanjiri Bandar Maharani,” tambah Syed Saddiq (foto).

Menurut beliau, statistik Kementerian Sumber Manusia menunjukkan jumlah pekerja asing yang memiliki ‘pas lawatan kerja sementara’ pada 2014 mencecah 2.1 juta manakala pendatang tanpa izin seramai 4.6 juta.

“Rakyat Muar bertanya mengapa mereka diketepikan? Setiap kali saya turun ke Muar, saya diaju pelbagai soalan. Soalan-soalan yang menunjukkan tidak kira lah siapa yang bertanding di Muar, penduduk Muar peka dengan realiti nasional dan lokal. Angin perubahan semakin dirasai di Muar.

“Apa yang saya boleh katakan di sini, Pakatan Harapan mendengar suara penduduk Muar. Pakatan Harapan ingin membangunkan Muar kerana kami percaya Muar adalah Mutiara Johor,” katanya lagi.