Malaysia Dateline

Angka Ahli Parlimen lawan angka Covid-19

Kes harian Covid-19 pada 5 Ogos telah melepasi angka 20,000 orang iaitu 20,596 kes. Bahkan, rekod kes baharu tertinggi buat hari kedua berturut-turut ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 mencecah 1,203,706 kes.

Pada masa yang sama di samping peningkatan kes dalam minggu sidang khas Parlimen, panggung politik sejak sehingga penangguhan atas alasan Covid-19 juga penuh dengan wayang, lakon peranan dan gerak-gerak seni politik, nilai-nilai, moral dan tingkah laku sang politikus di sebalik pelitup.

Ia juga mencatatkan jumlah angka tetapi bukan kes Covid-19. Ia adalah catatan angka sokongan antara Ahli Parlimen yang mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan jawatan Perdana Menteri serta yang ingin mengambil alih kuasa dan pelantikan Perdana Menteri baharu seolah-olah inilah kes harian sehingga sesi pembukaan Dewan Rakyat pada September ini.

Maka banyak berita sama ada benar atau tidak disiarkan dengan pelbagai dakwaan yang tersurat dan tersirat di media sosial dan media dalam talian.

Dalam Perutusan Khas, Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin umumkan dia masih lagi mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan bagi membolehkan dia kekal sebagai Perdana Menteri dan kerajaan PN kekal mentadbir.

Bahkan, Muhyiddin juga umumkan akan membuktikan keabsahan majoriti di Dewan Rakyat pada sidang September nanti.

Namun, kenyataan Perdana Menteri yang mendakwa kerajaan masih mempunyai majoriti disanggah oleh Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan tidak benar.

Dalam hubungan ini, 11 Ahli Parlimen Umno (ada yang kata 14), termasuk Zahid, dikatakan telah menarik sokongan daripada Mahiaddin. Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk mendakwa lebih banyak pemimpin Umno akan menarik sokongan terhadap Mahiaddin.

Manakala Ahli Parlimen pembangkang menyatakan pendirian mereka untuk tidak menyokong kepimpinan Perdana Menteri.

Blok pembangkang mempunyai 92 daripada 222 kerusi Parlimen dan jika dihitung dicampurkan dengan 11 Ahli Parlimen Umno yang tampil dalam pengumuman menarik balik sokongan pada Muhyiddin secara hipotesisnya semua mempunyai 103 kerusi dalam Dewan Rakyat.

Sementara itu, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Warisan Sabah mengeluarkan kenyataan secara berasingan. Pejuang, Warisan dan Muda mempunyai 13 kerusi Parlimen.

Jika digabungkan secara hipotesisnya dengan 13 Ahli Parlimen Umno, semua pihak di atas mempunyai 116 kerusi dalam Dewan Rakyat.

Jika kiraan saya betul, Mahiaddin akan mempunyai 106 kerusi sahaja, jika penjajaran di atas menjadi kenyataan.

Berapakah pula kiraan kes angka Covid-19? Ramai yang pandai mengira dan membuat andaian mengenai jumlah angka Ahli Parlimen yang menyokong PN dan yang hendak membentuk kerajaan baharu (seperti di atas) dengan pelbagai idea penjajaran dan gabungan baharu.

Tetapi apabila menghitung kiraan angka kes Covid-19, ramai politikus yang kurang minat atau teragak-agak mengiranya secara terperinci.

Ramai sang politikus atau yang berlagak politikus tidak minat berhujah atau membuat analisis atau perbandingan misalnya mengenai jumlah kes Covid-19 contohnya pada 11 Januari sekitar 3,309 kes sebelum perisytiharan darurat dan kes meningkat kepada 9,000 kes pada hujung Mei dan 17,786 kes pada 31 Julai, sehari sebelum tamat darurat.

Sejauh manakah perisytiharan darurat berjaya mengurangkan kes?

Malah, keadaan semakin meruncing pada 5 Ogos. Tiada yang berminat untuk mengetahui apa bezanya antara kes kluster dan kes sopradik yang lebih berbahaya dan tiada politikus-politikus yang mengulas mengenainya di media sosial. Mereka juga tidak minat untuk mengetahui apa maksud saringan kontak rapat dan saringan lain-lain.

Tiada politikus jadian atau yang tulen pun cenderung hendak mengulas antara peningkatan kes baharu dan jumlah keseluruhan kes katakan sepanjang enam bulan perisytiharan darurat misalnya. Perkara ini tidak menjadi keutamaan daripada jumlah angka Ahli Parlimen masih mendapat sokongan majoriti.

Kepada yang hendak memahami politik sekarang inilah yang wajah-wajah Kovidtokrasi, politik di sebalik pelitup dengan wabak politik-19 yang menular sejak Langkah Sheraton.

Segala wayang, strategi, lakon peranan dan seni politik akan dipertontonkan di pentas politik yang dipenuhi dengan janji, sokongan dan SD serta kluster-klusternya. Seperti Covid-19 dengan segala klusternya, wabak politik-19 juga dengan klusternya seperti kluster pengkhianat, kluster mahkamah dan umpamanya.

Bahkan, pemain-pemainnya akan dipentaskan sebelum Dewan Rakyat bersidang pada September ini. Drama politik angka akan bersaing antara kerajaan PN dan pembangkang. Di samping itu, sandiwara permainan angka ini akan berterusan bersaing dengan kes Covid-19 juga.

Mereka yang tidak berminat dan tiada hati untuk mengulas peningkatan kes Covid-19 kerana tiada drama kepura-puraan, kemunafikan, tiada wayang, tiada lakon peranan, tiada watak pelawak dan tukang karut.

Kecualilah jika kes Covid-19 dipolitikkan maka di situ aktor-aktor peran dan politik di sebalik pelitup akan memainkan wataknya. Maka, jadilah persaingan antara wabak Politik-19 melawan wabak Covid-19!

*Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)