Malaysia Dateline

Angka buktikan darurat dan gantung Parlimen gagal bendung Covid-19

Ahli Parlimen DAP, Lim Guan Eng meragui adakah tiga wakil Pakatan Harapan (PH) dalam Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dapat memberikan sumbangan dan memainkan peranan dalam memberi nasihat berhubung tempoh tamat proklamasi darurat.

Beliau berkata, laporan tentang perkembangan dari sidang yang diadakan perlu dibentang lebih-lebih lagi selepas enam kali jawatankuasa itu dilaporkan bersidang sejak Februari lalu.

Menurutnya, laporan perkembangan itu perlu mempamerkan apa keberkesanan dari penggantungan Parlimen dan darurat dalam memerangi Covid-19.

“Sama seperti pertempuran melawan Covid-19, laporan harus berdasarkan sains dan data.

“Persoalan sama ada darurat dan penggantungan Parlimen membantu membendung Covid-19, harus dibentangkan berdasarkan fakta dan angka.

“Tapi fakta dan angka membuktikan bahawa kedua-dua darurat dan penggantungan Parlimen bukan sahaja gagal mengurangkan jangkitan Covid-19, malah telah menyaksikan peningkatan yang mendadak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tiga wakil PH di dalam jawatankuasa tersebut adalah Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Saifuddin Nasution Ismail, Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke, dan Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Guan Eng berkata, pada 12 Januari ketika darurat diisytiharkan, jumlah jangkitan Covid-19 adalah 3,309, dengan jangkitan kumulatif adalah 141,533 dan kematian kumulatif sebanyak 559 kes.

Empat bulan bulan kemudian, pada 27 Mei 2021, jangkitan harian meningkat lebih dari dua kali ganda kepada 7,875, kes kumulatif hampir empat kali lebih tinggi pada 541,224 dan kematian terkumpul sebanyak 2,491 kematian.

Jelasnya, fakta dan angka menunjukkan bahawa darurat dan penggantungan Parlimen bukanlah penyelesaian untuk memenangi pertempuran menentang Covid-19, sebaliknya beliau Program Imunisasi Nasional Kebangsaan (PICK) yang berjaya adalah jalan penyelesaiannya.

“Untuk pelaksanaan PICK yang cepat dan lancar, harus ada pertanggungjawaban, ketelusan, dan pengawasan fungsi kerajaan.

“Hanya Parlimen sahaja yang dapat memainkan peranan meneliti keseimbangan ini untuk memastikan pemerintah menjalankan tugasnya dan wang awam digunakan dengan betul.

“Jawatankuasa tidak boleh membenarkan catatan tertinggi 7,857 jangkitan harian semalam, dijadikan alasan untuk memperpanjang keadaan darurat selepas 1 Ogos,” katanya lagi.