Angka kes menurun satu bentuk kekeliruan, penipuan

Oleh KIM SYAZIE

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur tentang kadar ujian saringan Covid-19 yang semakin rendah dijalankan sehingga menurun ke sekitar 50,000 ujian sehari berbanding 126,000 sebelum ini.

Beliau berkata, kerajaan perlu bersedia untuk mengkaji semula pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang terus dilaksanakan tanpa rancangan serta penyelarasan yang adil.

Malah katanya, jika kerajaan terus melakukan ujian saringan sehingga 150,000 sehari seperti dicadangkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, pasti kes positif selepas PKP akan lebih tinggi susulan pembukaan sektor-sektor kilang.

“Padanlah angka kes positif menurun ke empat dan lima ribu, kerana yang diuji dulu sekitar 126,000. Sekarang 50,000.

“Ya turun. tetapi ini satu bentuk kekeliruan dan penipuan kepada rakyat. Mereka (kerajaan) ini tidak mahu dengar (saranan pakar).

“Kerajaan tak ikut data, ujian (dikurangkan). Mereka berdolak dalih untuk mengelirukan dan menipu rakyat. Sebab itu kita nak tunjuk bahawa angka tak boleh percaya.

“PKP gagal, penyelarasan kurang. Menteri ini umum PKP, esok menteri ini buka pula 100,000 kilang. Kilang besar dapat keutamaan, yang kecil diketepikan,” katanya dalam bual bicaranya malam tadi.

Pada masa sama beliau mengingatkan kerajaan untuk prihatin terhadap permasalahan rakyat kerana masyarakat seolah-olah terpaksa mengemis untuk meneruskan hidup dan menjaga keluarga mereka.