Angka korban cecah 58 orang dalam tragedi empangan runtuh di Brazil

Angka korban cecah 58 orang dalam tragedi empangan runtuh di Brazil

Angka korban dalam insiden empangan sisa perlombongan runtuh di Brazil meningkat kepada 58 orang, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik media tempatan pada Ahad.

Menurut laporan media Brazil, sekurang-kurangnya 305 orang lagi dilaporkan hilang dalam insiden maut yang berlaku pada Jumaat di tenggara negeri Minas Gerais.

Operasi mencari dan menyelamat telah disambung semula di kawasan kejadian.

“Kami akan cuba mengesan mangsa yang terselamat dan mengeluarkan mereka,” kata Flavio Godinho, jurucakap Institusi Pertahanan Awam Minas Gerais.

Sementara itu, jabatan bomba berkata sejumlah 23 orang berada di hospital.

Susulan tragedi itu, pihak berkuasa telah memindahkan sejumlah 3,000 orang dari bandar Brumadinho.

Operasi menyelamat telah dihentikan susulan kebimbangan kemungkinan berlaku runtuhan kedua di empangan berhampiran yang dimiliki syarikat sama iaitu Vale SA.

Menurut pihak berkuasa Brazil, runtuhan empangan itu berlaku ketika pekerja sedang makan tengah hari, dan pasukan penyelamat tidak dapat menghampiri kawasan dewan makan yang tertimbus dalam lumpur.

Sebuah lagi empangan sisa perlombongan yang diuruskan oleh syarikat Vale dan BHP Billiton dari Australia runtuh pada 2015, menyebabkan 19 orang maut manakala beratus-ratus lagi hilang tempat tinggal di bandar Mariana dalam negeri Minas Gerais.

— BERNAMA