Malaysia Dateline

Angka korban tanah runtuh, banjir kilat di Indonesia meningkat 77

Angka kematian akibat banjir kilat dan tanah runtuh di wilayah paling timur di Indonesia, Papua meningkat kepada 77 orang dengan 116 lagi cedera, demikian menurut pegawai penyelamat tempatan, lapor agensi berita Xinhua pada Isnin.

Jurucakap jabatan mencari dan menyelamat daerah Jayapura, Yudi Yanto berkata 41 orang cedera parah dan 75 yang lain mengalami luka ringan dalam bencana yang melanda beberapa buah kampung pada Sabtu malam.

Jumlah itu dijangka meningkat memandangkan operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan,  melibatkan tentera dan sukarelawan dengan dibantu beberapa jentera berat.

Pada Isnin lalu, kayu balak yang dihanyutkan air banjir menghalang jalan raya sekaligus menyukarkan operasi menyelamat.

Lebih 4,000 penduduk terpaksa meninggalkan rumah masing-masing dan berlindung di kawasan selamat.

— BERNAMA