Angkasa nafi asteroid bakal hentam bumi 1 Feb ini

Angkasa nafi asteroid bakal hentam bumi 1 Feb ini

Agensi Angkasa Negara (Angkasa) menafikan laporan berita yang mendakwa asteroid bakal menghentam bumi pada 1 Feb ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Angkasa berkata asteroid yang dimaksudkan itu diberi gelaran 2002NT7 telah dijumpai Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika (NASA) pada tahun 2002.

NASA telah membuat pengiraan berdasarkan teori astronomi bahawa asteroid tersebut akan  menghentam bumi pada 1 Feb ini dengan kebarangkalian kurang daripada satu peratus.

Bagaimanapun, dengan pemantauan dan pengiraan semula, kebarangkalian asteroid tersebut  menghentam bumi adalah amat kecil dan hampir mustahil dan Angkasa juga mengesahkan perkara ini hasil semakan dan penelitian, kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar tidak bimbang dan tidak terpengaruh dengan berita yang tular dan lebih berhati-hati dalam berkongsi maklumat.

— BERNAMA