Malaysia Dateline

Angkasa sasar penambahan 3,000 outlet koperasi tahun ini

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyasarkan penambahan 3,000 outlet koperasi di bawah Program Pembekalan Barangan Asas 100 (BA100) sepanjang tahun ini.

Timbalan Presidennya Datuk Kamarudin Ismail berkata, sejak ia dilaksanakan pada tahun lepas, sebanyak 1,061 outlet koperasi telah menyertai BA100 bagi membantu dan menawarkan penjualan barangan asas dengan harga berpatutan.

“Melalui inisiatif ini pihak kami akan membuat pembelian barangan asas secara pukal daripada pembekal atau pengeluar dan dihantar secara terus kepada peruncit atau outlet koperasi yang terlibat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Pembangunan Perniagaan Koperasi Sekolah Berasrama Penuh (SBP) melalui BA100, di Tunjung di sini hari ini.

Menerusi BA100, Kamarudin berkata, operasi dan penjualan di semua koperasi terlibat akan ditambah baik untuk memberi manfaat kepada gerakan koperasi dan mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Buat masa ini, pihak kami dalam usaha meluaskan insiatif BA100 kepada koperasi SBP di seluruh negara, memandangkan pengusaha kantin SBP sentiasa memerlukan keperluan barangan asas dalam kuantiti yang banyak.

Beliau berkata, hasil jualan daripada program ini juga adalah positif iaitu sebanyak RM153,700 pada dua bulan pertama tahun ini.

“Kita menjangkakan lebih banyak lagi perolehan selepas ini melalui program ini. Malah, dalam minggu ini sahaja kita sudah berjaya memperoleh hasil jualan sebanyak RM5,300,” katanya.

Sehingga kini, Angkasa mempunyai 10,000 ahli dan 14,000 koperasi di seluruh negara.– BERNAMA