Angkat hubungan dua hala Malaysia-Uzbekistan, bakal jana potensi lebih RM2.1 bilion – PM Anwar

Oleh MAISARAH AISYA

Umum tahu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan ke Uzbekistan dan juga beberapa negara lain di Asia Tengah sejak 14 hingga 19 Mei.

Hasil perjumpaan tersebut adalah berkaitan ekonomi dan beberapa sektor lain antara Malaysia dan beberapa negara lain di Asia Tengah.

Menerusi satu hantaran di Facebook rasmi, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan lawatan rasminya berjaya mengangkat hubungan dua hala.

“Alhamdulillah, lawatan rasmi saya ke Uzbekistan telah berjaya mengangkat hubungan dua hala, pelaburan, perdagangan serta kerjasama Malaysia-Uzbekistan ke tahap lebih tinggi, dengan potensi eksport sekurang-kurangnya RM710 juta telah termeterai.

“Penghujung kunjungan di Uzbekistan juga menutup tirai lawatan rasmi saya ke tiga negara Asia Tengah, bermula di Kyrgyzstan pada Selasa lalu, disusuli Kazakhstan pada Khamis.

“Kunjungan ke Kyrgyzstan, Kazakhstan dan Uzbekistan juga berjaya menjana potensi pelaburan dan perdagangan sekurang-kurangnya berjumlah lebih RM2.1 bilion, yang bakal memanfaatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia,” ujar Anwar di Facebook.

Pada masa sama, Anwar menyatakan beliau berpuas hati dengan lawatan rasminya yang berjaya membuka lembaran baru.

Lawatan tersebut berjaya mengukuhkan hubungan antara Malaysia dengan negara-negara di benua Asia Tengah.

Dalam pada itu, Anwar turut berkongsi bahawa pimpinan Kerajaan Uzbekistan menghadiahkan sepersalinan pakaian tradisi rasmi khusus buat pemimpin tertinggi Bukhara dikenali sebagai ‘Chapan Bukhara’.

“Achilbay dan Penasihat Kepada Presiden Uzbekistan, Muzaffar Komilov kemudian mengiringi saya dan delegasi Malaysia ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bukhara.

“Saya zahirkan ucapan penghargaan tertinggi atas layanan luar biasa sepanjang kami berada di Uzbekistan sejak Jumaat lalu.

“Berat hati untuk melangkah meninggalkan Uzbekistan selepas hubungan erat yang terjalin meskipun hanya dalam tempoh singkat,” tambah beliau.

Baca juga: Pas kutuk ugutan bunuh, bersolidariti bersama Teresa Kok