Malaysia Dateline

Angkat martabat sistem pondok, ‘ustaz jari tengah’ pesan Mokhtar usah terpedaya

Terus mempertahankan ulama Pas, Mokhtar Senik, penceramah yang dikenali umum sebagai ‘ustaz jari tengah’ berpesan agar tumpuan untuk memartabatkan institusi pondok tidak terjejas.

Ustaz Ahmad Husam Datuk Baderudin berkata, Mokhtar yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat tetap meneruskan langkah walaupun ditabur fitnah oleh pengguna Facebook, Alexander Pittsuwan Thomprason.

“Dalam pertemuan saya dengan Ustaz Mokhtar Senik, saya ada berpesan kepada beliau bahawa jangan terpedaya dengan permainan mereka sehingga terjejas misi yang sedang kita rancangkan dalam perjuangan kita mengangkat martabat sistem pondok.

“Sebab itulah Ustaz Mokhtar Senik meneruskan langkahnya walaupun taburan fitnah sedang rancak ditabur oleh individu yang masih diragui status agamanya,” katanya dalam hantaran di Facebook anak bekas Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad itu.

Kelmarin, Ustaz Ahmad Husam mempersoal status agama Alexander Pittsuwan Thomprason yang sebelum itu membongkarkan skandal berkaitan Mokhtar dengan individu menyamar dikenali sebagai Leena.

Ustaz Ahmad Husam juga didengar mengeluarkan kata kesat ketika mempertahankan Mokhtar dalam dalam siaran Facebook (FB) Live itu dengan menyebut haram jadah dan but** pak hang.

Presiden AMANAH

Mengulas lanjut, Ustaz Ahmad Husam mendakwa misi dan visi yang sedang digalas oleh Mokhtar sangat besar iaitu menyatukan semua pondok pengajian Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) di bawah satu bumbung dan merancang agar institusi pendidikan itu terus mekar dan subur.

Sehubungan itu, Presiden Kelab Pendokong Penyatuan Ummah Malaysia tersebut berkata, pejuang Islam sepertinya wajib bangkit menentang golongan penabur fitnah.

Malah, Ustaz Ahmad Husam pernah menunjukkan jari tengah ketika berceramah dalam Masjid Permatang Berangan di Sungai Petani pada 2015 dilihat tiba-tiba mengheret nama Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

“Sebab itulah wahai pejuang Islam, kita wajib bangkit dan tentang golongan penabur politik fitnah ini.

“Jika mereka benar ingin menegakkan kebenaran mari kita buka fail siasatan di atas kes Ustaz Mokhtar Senik Dan Presiden AMANAH.

“Saya rasa wajib juga kita menyucikan imej Presiden AMANAH daripada terpalit dengan isu Zaza. Ada bran (berani)?” tempelaknya lagi.

Minggu lalu, gambar kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire lengkap tertera nombor pendaftaran serta nombor telefon yang dikaitkan dengan Mokhtar tular di media sosial.

Pemilik Pondok Annur di Kampung Kuala Penor, Kuantan itu mendakwa nombor telefonnya telah digunakan pihak lain tanpa sedar.