Angkat plakad protes lanjutan PKPD pun kena tahan, kerajaan zalim perlu dilawan

Oleh Oleh ARIF ATAN

Pemuda Pakatan Harapan (PH) menegaskan tindakan menahan sekumpulan anak muda yang bersuara bagi pihak rakyat adalah tindakan zalim yang jelas mencabuli hak kebebasan bersuara.

Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, Perikatan Nasional (PN) mesti berhenti menggunakan hujah penguatkuasaan undang-undang memandangkan pembesar kerajaan sendiri terlalu kerap melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan undang-undang dengan sengaja dan terbuka.

Beliau yang juga Ketua Pemuda AMANAH Nasional berkata demikian mengulas penahanan aktivis Mukmin Nantang dan enam individu lain semalam selepas protes aman mendesak Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Kampung Muhibbah Raya, Tawau, Sabah ditamatkan.

“Kalau mahu menggunakan hujah darurat atau SOP untuk menahan mereka, apa cerita dengan pelanggaran SOP makhluk-makhluk kayangan sebelum ini? Ada sebarang tindakan?

“Adakah penguatkuasaan undang-undang hanya ‘valid’ kepada rakyat biasa dan ‘silent’ apabila melibatkan batang tubuh menteri atau orang-orang berpengaruh?” bidasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Shazni Munir Mohd Ithnin

Shazni berpendapat penahanan demi penahanan termasuk terhadap aktivis Fahmi Reza oleh kerajaan PN yang tular dengan #KerajaanGagal sebagai mengekang suara dan kemarahan rakyat.

“Kezaliman apakah lagi yang mahu dilakukan oleh kerajaan PN dan BN ini? Apatah lagi apabila pihak berkuasa sendiri yang memulakan provokasi sebelum penahanan dibuat.

“Sejak bila memegang plakad dan bersuara ini menjadi satu jenayah?” soalnya lagi.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan ternyata #KerajaanGagal yang berkuasa hari ini telah mengabsahkan dirinya dengan gelaran baharu iaitu #KerajaanZalim.

“Jawapan kepada #KerajaanZalim ini bukanlah toleransi, apatah lagi mahu berlapang dada. Kezaliman ini perlu dilawan dan dikalahkan. Tunduk kepada kezaliman hanya memanjangkan siri-siri kezaliman selepas ini.

“Dengan perangai dan tingkah PN dan BN yang mendukung #KerajaanZalim, suara-suara rakyat akan terus dibungkam atas apa pun hujahnya.

“Usah sesekali diberikan ruang. Keadilan sosial yang diinjak-injak wajib diletakkan semula pada tempatnya,” tegas Shazni lagi.

Protes aman pada jam 3 petang semalam diadakan di sempadan penguatkuasaan PKPD di Kampung Muhibbah Raya bagi menggesa kerajaan untuk tidak melanjutkan perintah itu kerana menjejaskan kehidupan kebanyakan penduduk tempatan yang bergantung kepada gaji harian.

Mukmin ketika berhujah kepada anggota polis yang melarang mereka meneruskan protes menegaskan penduduk terbabit dalam keadaan sengsara akibat ‘berkurung’.

Untuk rekod, Kampung Muhibbah Raya ialah antara lokaliti dikenakan PKPD yang dijadualkan sepatutnya tamat pada 23 April tetapi dilanjutkan untuk 14 hari lagi hingga 8 Mei depan ekoran pertambahan kes positif baharu Covid-19.

Setakat kelmarin, pihak berkuasa kesihatan telah melakukan 622 ujian saringan kepada penduduk di sana, dengan 70 daripadanya positif manakala 310 masih menunggu keputusan.

Dalam hal berkaitan, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali semalam dilapor berkata, semua peserta protes yang ditahan terbabit akan dikenakan tindakan tegas termasuk kemungkinan akan dikenakan kompaun hingga maksimum RM10,000.