Angkat sumpah Ketua Menteri Pulau Pinang Isnin

Angkat sumpah Ketua Menteri Pulau Pinang Isnin

Majlis pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang yang baharu akan diadakan pada Isnin ini di Seri Mutiara.

Demikian disahkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Farizan Darus (gambar atas).

Dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang lalu, Pakatan Harapan (PH) telah berjaya memenangi 37 daripada 40 kerusi yang dipertandingkan.

Manakala BN berjaya menang 2 kerusi dan Pas hanya 1 kerusi.

Ekoran kemenangan tersebut PH berjaya membentuk kerajaan negeri sekali lagi untuk penggal yang ketiga sejak menjadi kerajaan negeri mulai tahun 2008.

Walau bagaimanapun kerusi Ketua Menteri Pulau Pinang masih lagi menjadi tanda tanya setelah adanya ura-ura Lim Guan Eng akan memegang portfolio kerajaan pusat selepas memenangi kerusi Parlimen Bagan dan juga Dun Air Putih.

Chow Kon Yeow

Spekulasi yang begitu hangat diperkatakan ketika ini ialah Pengerusi DAP Negeri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow kemungkinan besar akan dilantik bagi menerajui kerusi Ketua Menteri kali ini.

Chow sebelum ini merupakan exco kerajaan negeri dan juga Adun Padang Kota serta sering mempertahankan Guan Eng dalam pelbagai isu termasuk pembinaan terowong dasar laut.

Manifesto PH Pulau Pinang baru-baru ini turut menetapkan bahawa jawatan bagi Ketua Menteri telah dihadkan hanya untuk dua penggal sahaja.

Namun begitu rakyat Pulau Pinang masih menanti siapakah antara yang akan dipilih bagi menggantikan Guan Eng sebagai Ketua Menteri yang baru kali ini.